Tunku Mahkota Ismail perkenal mata wang kripto RMJDT di platform Zetrix AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tunku Mahkota Ismail perkenal mata wang kripto RMJDT di platform Zetrix AI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis – Bullish Aim Sdn. Bhd, syarikat yang dipengerusikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim hari ini melancarkan mata wang kripto (stablecoin) yang dikenali sebagai RMJDT yang disandarkan kepada Ringgit Malaysia. 

 

Stablecoin ini diterbitkan di atas platform blockchain Zetrix, yang menjadi asas kepada Infrastruktur Blockchain Nasional Malaysia (MBI).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zetrix berkata, RMJDT diperkenalkan untuk memperkukuh penggunaan Ringgit Malaysia secara meluas di peringkat antarabangsa dalam penyelesaian perdagangan rentas sempadan serta bertindak sebagai pemangkin bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

“Inisiatif ini selaras dengan perkembangan global dalam pengurusan aset secara digital dan secara langsung menyokong Dasar Aset Digital Nasional Malaysia.

 

“Seiring dengan pelancaran RMJDT, Bullish Aim juga akan menubuhkan Syarikat Perbendaharaan Aset Digital (DATCO) dengan peruntukan awal perbendaharaan sebanyak RM500 juta dalam token Zetrix, dengan rancangan untuk meningkat kepada RM1 bilion.

 

“Model perbendaharaan ini mencontohi amalan global seperti MicroStrategy dan Bitmine Immersion, dan ia akan memainkan peranan penting dalam memastikan yuran rangkaian stabil bagi transaksi RMJDT,” katanya dalam makluman itu.

 

Zetrix berkata, DATCO akan menggunakan token Zetrix untuk membantu menjalankan sehingga 10% daripada komputer pengesah dalam Sistem Blockchain Malaysia. 

 

Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan dan ketahanan sistem Web3 negara, sambil memastikan operasi rantaian blok berjalan dengan lebih lancar dan selamat

 

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah, sebagai pemilik RMJDT, baginda melihat penubuhan perbendaharaan token Zetrix sebagai satu keperluan strategik untuk menyokong kestabilan operasi dan juga untuk memperdalam penyelarasan dengan rantaian blok nasional.

 


Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen Johor dalam memajukan inovasi mata wang digital, infrastruktur perdagangan dan pembangunan ekonomi negara.

 

Ia juga beroperasi dalam persekitaran yang diluluskan Malaysia bagi memastikan pematuhan, ketelusan, dan pengawasan nasional.

 

Dengan inisiatif ini, Malaysia semakin menekankan pembangunan ekonomi digital berasaskan rantaian blok sambil menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk perdagangan, transaksi digital dan pembangunan aset digital di peringkat nasional dan antarabangsa. - DagangNews.com