Buku pesanan Tuju Setia naik kepada RM2.1 bilion selepas raih kontrak RM264 juta daripada MKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku pesanan Tuju Setia naik kepada RM2.1 bilion selepas raih kontrak RM264 juta daripada MKH

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 April - Syarikat pembinaan Tuju Setia Berhad, berjaya meningkatkan jumlah pesanan semasanya kepada RM2.1 bilion selepas memperoleh kontrak bernilai RM264 juta daripada MKH Berhad.

 

Tuju Setia menerima Surat Anugerah daripada anak syarikat MKH, Danau Saujana Sdn Bhd, untuk menjadi kontraktor utama bagi Residensi Naluri, sebuah pangsapuri di Makhota Cheras. 

 

Pembinaan dijangka mengambil masa selama 34 bulan, dengan tarikh permulaan akan diputuskan tidak lama lagi.

 

Kontrak terbaharu itu adalah projek pertama kumpulan pada tahun 2025 dan projek kedua yang dianugerahkan oleh MKH selepas Jernih Residence. 

 

Kumpulan mempunyai banyak projek yang dirancang dengan unjuran pendapatan sehingga 2028.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia Berhad, Wee Eng Kong berkata, penganugerahan kontrak terbaharu itu memperlihatkan kepercayaan berterusan dari MKH dan keyakinan terhadap keupayaan syarikat untuk menyiapkan kerja berkualiti tinggi tepat pada masanya.

 

"Ia membantu mengukuhkan reputasi kami dalam industri pembinaan. Kami yakin akan memperoleh lebih banyak projek berkualiti berdasarkan rekod baik kami. 

 

"Dengan buku tender aktif kami, pesanan tertinggi dalam sejarah ini membolehkan kami mencatat prestasi yang lebih baik pada tahun ini, serta beberapa tahun kewangan akan datang sehingga FY2028," katanya dalam satu kenyataan.

 

Residensi Naluri adalah pembangunan berstatus pegangan bebas yang dibina berhampiran lokasi pengangkutan awam.

 

Projek tersebut terdiri daripada dua blok 30 tingkat dan dua blok 37 tingkat, dilengkapi dengan kemudahan, tempat letak kereta dan surau. 

 

Ia terletak berhampiran MRT Bandar Tun Hussein Onn, sebuah sekolah antarabangsa serta beberapa sekolah tempatan, dengan akses mudah melalui lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya Kajang Silk.

 

MKH adalah pemaju hartanah yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam pelbagai pembinaan di Lembah Klang terutamanya di Kajang.

 

Jernih Residence merupakan projek pertama yang dianugerahkan kepada kumpulan oleh MKH melalui usaha sama dengan Sunway Berhad pada tahun 2022, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM257 juta. 

 

MKH dan Sunway telah menganugerahkan pelbagai projek kepada kumpulan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membuktikan prestasi Tuju Setia yang baik dalam melaksanakan kontrak.

 

Kumpulan juga berjaya menyelesaikan beberapa projek pada tahun 2025, termasuk The Pulse Residence di Puchong dan One Equine – Fasa 1 di Seri Kembangan. 

 

The Pulse Residence mencapai skor QLASSIC sebanyak 83%, mencerminkan standard kualiti tinggi yang konsisten oleh kumpulan. - DagangNews.com