KUALA LUMPUR 17 April – TrueMoney Malaysia, anak syarikat kepada platform kewangan serantau Ascend Money memperkenalkan perkhidmatan kiriman wang antarabangsa bagi pengguna perniagaan dan individu, dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia rumusan kewangan digital menyeluruh di negara ini.
Kumpulan itu berkata, pelancaran tersebut membolehkan perniagaan berdaftar di Malaysia menjalankan pemindahan wang rentas sempadan bagi urus niaga perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dalam Dolar Amerika Syarikat (AS$), Dolar Singapura (SG$), dan Baht Thailand (THB) pada kadar yang kompetitif.
Bagi transaksi kiriman antarabangsa, pengguna e-dompet TrueMoney kini boleh menghantar wang ke tujuh negara termasuk Myanmar, Kemboja, Indonesia, Filipina, India, Nepal, dan Bangladesh.
Kesemua transaksi itu tertumpu khusus kepada komuniti pekerja asing di Malaysia yang ingin menghantar wang ke tanah air.

Ketua Bahagian Komersial TrueMoney Malaysia, Shaik Ikhwan berkata, perkhidmatan itu direka bagi memperkasa keterangkuman kewangan dengan menyediakan rumusan pemindahan wang yang selamat, mudah, dan berpatutan.
"Kami komited untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan, terutamanya bagi komuniti terpinggir seperti pekerja asing.
"Dengan rangkaian pengesahan digital dan ketersambungan tunai yang luas, kami mampu menyalurkan dana ke lokasi terpencil di negara penerima dengan selamat dan efisien," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai satu daripada 11 aplikasi digital dengan keupayaan eKYC penuh di Malaysia, pengguna hanya perlu melengkapkan proses pengesahan identiti sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut.
Sempena pelancaran kelmarin, pengguna yang membuat kiriman wang RM150 dan ke atas bakal menikmati pengecualian yuran transaksi sehingga tiga kali penebusan dari Mac hingga Jun 2025.
Berdasarkan laporan analisis penyelidikan dan pasaran, nilai kiriman wang ke luar negara dari Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4% pada 2023 dan mencecah AS$9.93 bilion (RM47.17 bilion) menjelang 2028.
Kadar pertumbuhan tahunan kompaun dijangka meningkat pada CAGR sebanyak 1.5% dalam lima tahun akan datang. Pada tahun 2024 sahaja, sektor itu dianggarkan bernilai AS$9.35 bilion (RM44.4125 bilion).
TrueMoney yang baru dua tahun beroperasi di Malaysia telah menempatkan dirinya sebagai antara pemain utama dalam ekosistem pembayaran digital tempatan, menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti e-dompet, pembayaran bil, dan kini kiriman wang antarabangsa.
"Peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kiriman wang terus meningkat sejajar dengan permintaan pengguna yang semakin tinggi. Kami bersedia untuk menyokong bukan sahaja pengguna individu, tetapi juga perniagaan dengan keperluan pembayaran antarabangsa," kata Shaik.- DagangNews.com








