KUALA LUMPUR 11 Ogos – Topmix Bhd optimis permintaan terhadap produk hiasannya akan kekal stabil, disokong aktiviti pengubahsuaian yang berterusan dalam segmen kediaman dan komersial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teo Quek Siang berkata, sektor komersial dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat apabila lebih banyak projek pengubahsuaian dilaksanakan berikutan peningkatan pelanggan di segmen runcit dan hospitaliti.
“Sebagai pemain industri pengubahsuaian, kami berada dalam kedudukan unik kerana ruang atau premis sentiasa memerlukan pembaharuan,” katanya, lapor SunBiz.
Tambahnya, langkah kerajaan seperti bantuan tunai RM100 dan pengurangan sementara harga RON95 mampu merangsang perbelanjaan pengguna, sekali gus memberi dorongan kepada permintaan produk syarikat.
Bagi tahun ini, Topmix mengekalkan pendekatan optimis berhati-hati dengan jangkaan permintaan konsisten daripada pemilik rumah dan perniagaan.
Quek Siang berkata, sektor pengubahsuaian lebih berdaya tahan berbanding pasaran hartanah atau pembinaan kerana pelanggan tetap perlu menyelenggara atau menaik taraf ruang mereka secara berkala.
“Kebiasaannya, apabila ekonomi perlahan, pelanggan lebih selesa membuat pengubahsuaian sahaja berbanding berpindah atau membuat pembelian premis baharu,” katanya.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir 31 Mac, keuntungan bersih Topmix melonjak kepada RM3.09 juta daripada RM1.27 juta setahun lalu, disokong oleh margin keuntungan kasar lebih baik hasil pergerakan mata wang asing yang menguntungkan.
Hasil syarikat meningkat 14% kepada RM22.07 juta daripada RM19.36 juta, dipacu jualan kukuh produk high pressure laminate (HPL) dan permintaan tinggi papan lapis PVC serta papan cip berlapis melamin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat menggunakan data jualan sejarah untuk membuat anggaran permintaan, mengoptimumkan inventori, serta mengeluarkan katalog baharu setiap dua tahun mengikut trend reka bentuk terkini.
“Dari sudut pemasaran, tidak ramai pemain industri mampu mengeluarkan katalog sekerap Topmix kerana kos pengeluaran yang tinggi.
“Bagi jaminan bekalan, syarikat bekerjasama rapat dengan lima pembekal OEM utama di bawah perjanjian eksklusif, dengan opsyen beralih kepada pengeluar alternatif jika berlaku gangguan,” katanya.- DagangNews.com







