Tomorrow City Shanghai jadi platform Terengganu tarik pelabur melalui Bandar Pintar beridentiti tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tomorrow City Shanghai jadi platform Terengganu tarik pelabur melalui Bandar Pintar beridentiti tempatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept – Penyertaan Terengganu dalam pameran Tomorrow City Shanghai di China membuka peluang baharu untuk menampilkan potensi besar negeri itu dalam pembangunan segmen bandar pintar (Smart City).

 

Penyertaan itu bukan sahaja bertujuan memperlihatkan keupayaan Terengganu dalam bidang berkenaan, malah yang lebih utama ialah meningkatkan persepsi pelabur dan penggiat industri di Malaysia serta luar negara terhadap hala tuju pembangunan negeri.

 

Terengganu turut menerima penghormatan apabila dijemput sebagai antara barisan penceramah utama dalam acara tersebut.

 

Antara yang terlibat ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim.

 

Kedua-dua wakil Terengganu itu membentangkan topik berkaitan perancangan strategik serta pelaksanaan inisiatif ke arah pembinaan bandar pintar di Terengganu.

 

t

 

Sementara itu, Pengerusi  Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran antarabangsa seperti ini penting bagi mengangkat imej Terengganu di pentas dunia. 

 

“Kita dapat memperkukuhkan keyakinan pelabur terhadap kesungguhan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan mampan.

 

“Keunikan Terengganu sebagai sebuah negeri di pantai timur turut memberi nilai tambah terhadap visi ini.

 

“Dengan garis pantai yang panjang, pulau-pulau tropika bertaraf dunia serta warisan budaya yang masih segar, Terengganu bukan sahaja destinasi pelancongan, malah sedang bergerak maju membangunkan konsep bandar pintar berasaskan ciri semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan Blueprint Smart Terengganu 2040, di samping membangunkan pelan tindakan bandar pintar untuk tiga Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM). 

 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada hasrat negeri untuk mencapai status Smart City Early Adopter menjelang 2025.

 

t

 

Tambah Wan Sukairi, Terengganu enjadikan keunikan alam semula jadi dan budaya ini sebagai asas kepada konsep bandar pintar beridentiti tempatan, sekali gus memastikan teknologi dibangunkan tanpa mengabaikan tradisi dan kelestarian ekologi.

 

“Selain itu, pelaksanaan Blueprint Smart Terengganu 2040 serta inisiatif bandar pintar di peringkat PBT dijangka menarik minat pelabur asing dalam sektor teknologi, hartanah dan pelancongan. 

 

“Keupayaan negeri menggabungkan potensi pelancongan dengan teknologi pintar juga dilihat mampu membuka ruang FDI baharu, khususnya dari syarikat digital dan pemain industri global,” katanya.

 

Usaha ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membina persekitaran bandar yang mampan, efisien dan inklusif, malah turut memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri yang bersedia bersaing di peringkat global.

 

Seiring dengan arus Revolusi Industri 4.0, Terengganu yakin bahawa pendekatan pintar dan bersepadu ini akan menjadikan negeri lebih kompetitif, sekaligus memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat. - DagangNews.com