Harga emas tinggi akibatkan jualan lemah paksa Tomei hadkan buka kedai baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga emas tinggi akibatkan jualan lemah paksa Tomei hadkan buka kedai baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei – Pengeluar dan peruncit barang kemas emas, Tomei Consolidated Bhd mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap pelan pengembangan rangkaian runcitnya susulan persekitaran operasi yang mencabar serta ketidaktentuan harga emas global.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ng Yih Pyng berkata syarikat tidak merancang pengembangan agresif, sebaliknya hanya membuka bilangan cawangan yang terhad dalam tempoh terdekat.

 

Beliau berkata Tomei kini sedang menilai beberapa peluang lokasi baharu bersama pengendali pusat beli-belah, namun keputusan pembukaan outlet akan dibuat secara berhati-hati.

 

“Dalam masa sama, syarikat turut menutup beberapa cawangan yang didapati kurang berprestasi bagi memastikan kecekapan operasi kekal terjaga.

 

“Strategi tersebut akan menyebabkan pertumbuhan rangkaian kedai Tomei kekal hampir mendatar, dengan hanya pertambahan bersih sekitar satu hingga dua cawangan sahaja.

 

“Secara keseluruhan, kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa outlet, tetapi secara bersih tidak melebihi satu atau dua outlet tambahan,” katanya.

 

Langkah itu diambil berikutan jangkaan momentum perniagaan yang lebih sederhana dalam beberapa suku akan datang selepas musim jualan puncak.

 

t

 

Beliau berkata, permintaan lazimnya meningkat semasa musim perayaan utama seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya, namun akan kembali perlahan selepas tempoh tersebut.

 

“Sambutan Hari Raya yang lebih awal turut menyebabkan kelembapan permintaan dijangka berlaku pada suku kedua dan ketiga.

 

“Dalam masa sama, harga emas yang kekal tinggi turut memberi kesan terhadap kemampuan membeli pengguna yang menjejaskan sentimen permintaan dalam pasaran,” jelasnya.

 

Ng berkata harga emas global terus mencatat turun naik ketara sepanjang tahun ini akibat faktor geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi dunia.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keuntungan syarikat kekal stabil kerana Tomei mengamalkan pendekatan penetapan harga semula secara langsung mengikut harga emas semasa.

 

Katanya, apabila harga emas berubah, syarikat akan menyesuaikan harga jualan dan pembelian semula stok secara harian bagi mengekalkan keseimbangan margin.

 

Tomei juga tidak melakukan lindung nilai terhadap inventori emas, sebaliknya menyesuaikan stok berdasarkan jualan harian pelanggan.

 

Selain itu, beliau berkata syarikat turut memberi tumpuan kepada pengeluaran reka bentuk barang kemas yang lebih ringan dan mampu milik bagi menarik minat pengguna dalam keadaan harga emas yang tinggi.

 

“Tomei juga memperluaskan sasaran pasaran kepada golongan muda melalui koleksi berjenama dan berlesen, termasuk kerjasama dengan jenama Sanrio,” katanya. - DagangNews.com