TNB perkenal dua jawatan baharu fokus operasi, kelestarian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB perkenal dua jawatan baharu fokus operasi, kelestarian

Ir Mahathir Nor Ismail (kiri) dan Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil (kanan)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkemas struktur kepimpinan dan korporatnya bagi memperkukuh tadbir urus, prestasi perniagaan dan daya tahan organisasi dalam landskap tenaga yang semakin kompleks.

 

Sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, TNB memperkenalkan dua jawatan kepimpinan kanan baharu iaitu Ketua Pegawai Kanan Rangkaian (Senior Chief Network Officer - SCNO) dan Ketua Pegawai Kanan Strategi & Kelestarian (Senior Chief Strategy & Sustainability Officer - SCSSO) yang bertujuan memberikan fokus lebih jelas, memperkukuh akauntabiliti serta memisahkan peranan hala tuju strategik dan pelaksanaan operasi.

 

Lantikan bagi jawatan SCNO ialah Ir Mahathir Nor Ismail manakala jawatan SCSSO disandang Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan penambahbaikan struktur ini mencerminkan pendekatan berdisiplinnya terhadap tadbir urus dan perancangan penggantian kepimpinan, bagi memastikan syarikat kekal bersedia menghadapi masa depan, dipimpin secara berkesan serta disokong oleh barisan kepimpinan yang kukuh untuk melaksanakan tanggungjawab nasional secara mampan.

 

Struktur baharu ini membolehkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif memberikan kepimpinan serta pengawasan menyeluruh, di samping memperkasakan barisan kepimpinan kanan dengan tanggungjawab yang jelas untuk memacu prestasi, transformasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

 

“Di bawah struktur baharu itu, SCNO akan menyelia sebahagian besar tanggungjawab pelaksanaan dan penyampaian, termasuk prestasi operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan daya tahan sistem.

 

“Ini memastikan fokus yang lebih kukuh terhadap mandat teras TNB dalam membekalkan tenaga elektrik yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan kepada negara,” kata TNB dalam kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, peranan SCSSO menggabungkan fungsi strategi, kelestarian dan perancangan jangka panjang di bawah satu payung kepimpinan.

 

Langkah ini bertujuan memperkukuh keselarasan strategik, meningkatkan komunikasi dengan pihak berkepentingan serta memastikan pertimbangan kelestarian diterapkan sepenuhnya dalam proses membuat keputusan dan hala tuju perniagaan jangka panjang TNB.

 

Dengan pembahagian akauntabiliti kepimpinan yang lebih jelas antara pelaksanaan dan strategi, TNB mengukuhkan amalan tadbir urus yang baik, mempertingkat koordinasi merentas organisasi serta memperkukuh penjajaran antara perancangan jangka panjang dan operasi harian.

 

Struktur ini juga menyokong proses pengurusan penggantian yang lebih mantap dengan membangunkan keupayaan kepimpinan yang mendalam dan memastikan kesinambungan pada peringkat kritikal.

 

Penambahbaikan kepimpinan ini turut mencerminkan kekuatan bakat dalaman TNB serta pelaburan berterusan syarikat dalam membangunkan pemimpin yang berupaya mengemudi peralihan tenaga, mengurus kerumitan dan memimpin transformasi berskala besar.

 

Langkah berkenaan menyokong pelaksanaan pelan strategik TNB RT2.0 (Reimagining TNB 2.0), iaitu peta hala tuju transformasi sistem tenaga Malaysia ke arah yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan, sejajar dengan aspirasi negara mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

 

Secara keseluruhan, perubahan ini direka untuk memperkukuh keberkesanan organisasi, memastikan kesinambungan kepimpinan dan mengekalkan kedudukan TNB sebagai utiliti elektrik nasional yang berkeupayaan memenuhi tanggungjawabnya, sambil menyokong matlamat tenaga dan kelestarian jangka panjang negara. - DagangNews.com