KUALA LUMPUR 11 Ogos – Malaysia terus mengambil langkah proaktif dalam memacu peralihan hijau di rantau ASEAN melalui inisiatif strategik yang dipimpin oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan transformasi tenaga yang mampan dan berkesan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, dalam menghadapi cabaran peralihan kepada tenaga bersih, tiada sesebuah negara dapat mencapai kejayaan secara bersendirian.
"Kejayaan yang sebenar hanya boleh direalisasikan melalui kerjasama yang kukuh dan berterusan antara negara-negara di rantau serantau, di mana setiap pihak saling menyokong dan berkongsi sumber serta teknologi bagi memastikan transformasi tenaga yang mampan dan berkesan untuk manfaat bersama.
“TNB kini aktif menyumbang kepada inisiatif Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid), dengan projek sambungan rentas sempadan seperti Vietnam–Malaysia–Singapura, Malaysia–Indonesia dan Malaysia–Sarawak.
"Kerjasama ini penting untuk membuka potensi tenaga boleh diperbaharui di seluruh rantau, mengubah rancangan negara yang terasing menjadi kemakmuran bersama dan memastikan keselamatan tenaga jangka panjang,” katanya pada Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.

Tambahnya, TNB berbangga menjadi pemacu utama dalam perubahan kolektif ASEAN ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau, bersambung dan tahan lasak, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju tenaga lestari di rantau ini.
Beliau juga menegaskan bahawa sektor tenaga bukan sahaja pemudah cara pembangunan, malah pemangkin utama pertumbuhan hijau dan lestari.
“Seiring negara beralih daripada penggunaan arang batu dan gas, kita mesti menguruskan peralihan ini dengan berhati-hati agar keselamatan tenaga terjamin. Selain itu, kita juga perlu menggalakkan gaya hidup hijau di kalangan pengguna melalui penyelesaian seperti kenderaan elektrik (EV).
"Dengan berpandukan tiga tonggak utama iaitu Rakyat, Planet dan Kemakmuran, peralihan Malaysia mesti mengimbangi pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.- DagangNews.com










