TNB gandakan perbelanjaan modal kepada RM42.9 bilion sokong usaha peralihan tenaga Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB gandakan perbelanjaan modal kepada RM42.9 bilion sokong usaha peralihan tenaga Malaysia

KUALA LUMPUR 24 April - Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah menggandakan perbelanjaan modal (capex) yang diperuntukkan kepada RM42.9 bilion, merangkumi RM26.6 bilion capex asas dan RM16.3 bilion capex luar jangka bagi menyokong pembangunan infrastruktur peralihan tenaga Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, daripada capex luar jangka itu, 64% digunakan untuk menaik taraf infrastruktur bagi menyokong tenaga boleh diperbaharui (RE), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan projek sambungan antara grid; manakala 30% untuk memenuhi potensi pertumbuhan permintaan, dan 6% untuk mengekalkan keselamatan bekalan.

 

 

“Keutamaan kami ialah mempercepatkan proses nyahkarbon. Kami merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga solar (LSS5+, LSS6), sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), skim pembekalan tenaga boleh diperbaharui korporat (CRESS), dan tenaga boleh diperbaharui berasaskan komuniti (CREAM).

 

“Kami juga akan meneruskan usaha dalam hidrogen hijau, penangkapan karbon, mobiliti elektrik, dan sambungan grid pintar — semuanya elemen penting dalam visi Grid Kuasa ASEAN,” katanya dalam Laporan Tahunan 2024 yang difailkan kepada Bursa Malaysia.

 

Megat Jalaluddin berkata, sehingga kini, TNB memiliki 3.3 gigawatt (GW) kapasiti RE di Semenanjung Malaysia, dan 1.1GW di luar negara, terutamanya di United Kingdom (UK) dan Ireland.

 

“Pada 2024, kami telah memperoleh lebih 700 megawatt-peak (MWp) projek solar berskala besar melalui LSS5 dan LSSS.

 

“Selain itu, kami mencapai penutupan kewangan untuk loji solar berkapasiti 45MWp di Kulim di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP),” katanya.

 

Di peringkat antarabangsa, TNB mengendalikan kapasiti gabungan sebanyak 927 megawatt (MW), merangkumi aset solar dan angin di UK, Ireland, dan Australia, serta telah memulakan pembinaan dua ladang solar baharu di UK berjumlah 102MWp.

 

Di bawah NETR, Megat Jalaluddin berkata, TNB sedang membuat kemajuan dalam tiga projek utama, iaitu solar terapung, taman solar berpusat, dan projek hidrogen.

 

“Bagi solar terapung, terdapat pembangunan fotovoltaik solar terapung sebanyak 2.5GW di atas empangan hidro kami.

 

“Ini termasuk pemasangan berjaya sebanyak 154kWp di Empangan Kenyir. Bagi taman solar berpusat, kami sedang membangunkan lima taman solar 150MWp di seluruh Malaysia dengan kerjasama rakan tempatan.

 

“Pada masa ini, kami telah memperoleh kontrak untuk membekalkan 150MWp tenaga hijau kepada Bridge Data Centres melalui Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS),” katanya.

 

Megat Jalaluddin menekankan, TNB sedang bekerjasama dengan Petronas dalam projek hidrogen hijau, menggunakan tenaga solar dari projek Kenyir, di mana sistem perintis kini sedang beroperasi dengan panel solar 500kWp dan simpanan bateri 1MWh.

 

Beliau berkata, TNB telah memperoleh projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 400 megawatt-jam (MWh) di Sabah, yang merupakan yang terbesar seumpamanya di ASEAN.

 

“Pada masa yang sama, kami juga menerima projek perintis 400MWh untuk grid nasional. Kami juga telah menceburi bidang penangkapan dan penyimpanan karbon bagi membantu mengurangkan pelepasan dari loji jana kuasa termal,” katanya.

 

Melihat ke hadapan, beliau berkata, syarikat optimis untuk 2025, dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan antara 4.5% hingga 5.5%, dan permintaan elektrik dijangka meningkat sehingga 4.5%.

 

“Dengan pelancaran Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dan pulangan pelaburan yang memberangsangkan sebanyak 7.3%, kami yakin untuk meningkatkan skala operasi,” kata Megat Jalaluddin.- DagangNews.com