TM Nxera peroleh jaminan bekalan elektrik 280MW TNB bagi kampus pusat data sedia AI di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM Nxera peroleh jaminan bekalan elektrik 280MW TNB bagi kampus pusat data sedia AI di Johor

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – TM Nxera memperoleh jaminan bekalan elektrik berkapasiti 280MW daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk digunakan di kampus pusat data (DC) serba canggih di Iskandar Puteri, Johor.

 

Syarikat usaha sama (JV) antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Nxera, iaitu syarikat pusat data serantau Singtel dari Singapura itu menandatangani perjanjian bekalan elektrik dengan TNB di sini hari ini.

 

Dalam kenyataan hari ini, TM berkata perjanjian itu menyokong pembangunan kampus pusat data yang canggih, bersambungan tinggi dan sedia AI, dengan fasa pertama operasi komersial dijadualkan bermula pada 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TM Nxera, Mahathir Said berkata, memandangkan sumber tenaga yang boleh dipercayai dan mampan adalah kunci untuk memperkasakan ekonomi digital Malaysia dan penggunaan AI, perjanjian bersama TNB itu merupakan langkah penting bagi infrastruktur digital hijau TM Nxera di Johor. 

 

Menurutnya, TM Nxera bukan sekadar usaha niaga pusat data, sebaliknya akan menjadi pemangkin strategik untuk mempercepatkan penggunaan teknologi AI, awan dan teknologi terkini merentas industri. 

 

“Dengan jaminan kuasa 280MW, TM Nxera meningkatkan keupayaan menyokong transformasi Malaysia, menarik pelaburan teknologi global dan memacu ekosistem pertumbuhan industry,” katanya.

 

Kampus pusat data baharu Tier 3 yang didayakan awan itu merupakan antara pelaburan utama dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi awan dan AI.

 

Direka untuk menyokong beban kerja AI berskala besar dengan kapasiti berskala melebihi 200MW, kemudahan tersebut akan menjadi asas infrastruktur digital negara bagi menyokong hyperscaler, penyedia aplikasi AI dan perusahaan mempercepatkan transformasi digital serta penggunaan awan serantau.

 

Kampus itu turut menampilkan teknologi penyejukan cecair termaju bagi menyokong penggunaan AI berskala besar dan kecekapan prestasi, selain direka memenuhi piawaian Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) dengan integrasi tenaga dan teknologi air cekap untuk memaksimumkan kecekapan sumber.

 

Perusahaan dan hyperscaler akan mendapat akses kepada infrastruktur hijau dan selamat pada kos efektif tanpa perlu membina dan mengurus kemudahan sendiri.

 

Ketersambungan kampus pusat data akan disokong oleh rangkaian kabel dasar laut InfraCo Digital TM dan Singtel Group, memastikan capaian global yang mantap serta prestasi rangkaian berpendaman rendah, sekali gus mewujudkan antara platform infrastruktur digital paling canggih di Asia Tenggara dan menjana gelombang inovasi AI, penggunaan awan serta pertumbuhan industri seterusnya.

 

Majlis pertukaran dokumen di Kuala Lumpur disertai barisan kepimpinan kanan TM, TM Nxera dan TNB, mencerminkan kepentingan infrastruktur tenaga yang boleh dipercayai dan berskala dalam menyokong pertumbuhan digital serta dipacu AI di Malaysia. 

 

TM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan , Amar Huzaimi Md Deris dan Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Liza Ibrahim. 

 

TM Nxera pula diwakili oleh Pengerusi, Bill Chang; Ketua Pegawai Eksekutif, Mahathir Said; dan Ketua Pegawai Operasi, Benedict Kwok, Ketua Pegawai Operasi. 

 

TNB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Retail, Datuk Kamal Arifin A. Rahman. - DagangNews.com