KUALA LUMPUR 26 Mei - Tiong Nam Logistics Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 305.4% kepada RM42.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25) berbanding RM10.6 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, peningkatan keuntungan itu didorong pelarasan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan yang terdiri daripada aset pergudangan logistiknya.
Katanya, ia disokong aktiviti logistik dan pergudangan yang kukuh, menyumbang kepada peningkatan hasil kumpulan sebanyak 18.2% kepada RM228.7 juta pada 4QFY25 berbanding RM193.4 juta sebelum ini.
"Segmen perkhidmatan logistik dan pergudangan kumpulan menunjukkan peningkatan hasil yang kukuh, dengan pendapatan meningkat sebanyak 21.5% kepada RM218.3 juta pada 4QFY25, didorong pertambahan perniagaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu, termasuk pelanggan domestik dan multinasional.
"Pengembangan kapasiti segmen yang sedang berjalan dijangka akan meningkatkan jumlah kapasiti pergudangan kepada 11.1 juta kaki persegi menjelang tahun kewangan 2028, berbanding 9.6 juta kaki persegi setakat 31 Mac 2025, dengan sembilan gudang baharu dijangka mula beroperasi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusannya, Ong Yoong Nyock berkata, operasi logistik dan pergudangan kumpulan menunjukkan prestasi cemerlang disokong permintaan kukuh serta hubungan pelanggan yang semakin berkembang.
Katanya, pembangunan rangkaian kumpulan adalah penting dalam meningkatkan keupayaan dan membolehkan skala yang lebih besar bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat terhadap rumusan logistik bersepadu.
Inisiatif itu mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyedia rumusan logistik menyeluruh, sambil memastikan rantaian bekalan yang cekap di seluruh negara.
"Kami menjangkakan prestasi yang positif bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.
"Dengan pengukuhan perdagangan serantau dan penyesuaian semula rantaian bekalan di seluruh Asia, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk berperanan sebagai penghubung penting dalam rangkaian logistik.
"Pada masa yang sama, segmen pembangunan hartanah turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 573.9% kepada RM9.6 juta dalam 4QFY25 berbanding RM1.4 juta sebelum ini, hasil daripada pengiktirafan pendapatan yang lebih tinggi daripada projek pembangunan kediaman yang sedang berjalan di Johor," katanya.
Bagi tahun penuh berakhir 31 Mac 2025 (FY25), untung bersih kumpulan menysusut kepada RM41.5 juta berbanding RM57.3 juta manakala hasil kumpulan meningkat 13.8% kepada RM863.6 juta berbanding RM758.6 juta pada FY24. - DagangNews.com








