KUALA LUMPUR 12 Jan – IJM Corporation Bhd diyakini terus kekal sebagai peneraju dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan di Malaysia, terutamanya melalui projek gudang dan hub logistik di Shah Alam yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan cadangan beli bagi saham syarikat tersebut dengan harga sasaran RM3.43, menawarkan potensi kenaikan sehingga 25 peratus berikutan prestasi kukuh projek-projek utama dan aliran pendapatan berulang yang stabil.
RHB Research berkata lawatan tapak oleh pasukannya menunjukkan tiga projek gudang IJM Corp di Shah Alam berjalan lancar dengan kemajuan memberangsangkan.
“Kehadiran tapak Maersk seluas 2.1 juta kaki persegi di Seksyen 26 menegaskan kepentingan kawasan ini dalam memenuhi keperluan logistik domestik.
“Projek industri menyumbang sekitar 10 hingga 15 peratus daripada baki pesanan domestik IJM yang berjumlah RM8.4 bilion.
“Projek ini merangkumi pembangunan kompleks gudang, pejabat dan kemudahan sokongan lain, yang memberi impak positif terhadap aliran pendapatan syarikat,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Projek pertama ialah fasa 1 Shah Alam International Logistics Hub (SAILH) bernilai RM654 juta, dianugerahkan oleh Global Vision Logistics pada Jun 2023.
Fasa ini merangkumi gudang 4 tingkat, tempat letak kereta 4 tingkat, pejabat 1 tingkat dan bangunan tambahan lain.
RHB Research menganggarkan projek ini hampir selesai 90 hingga 95 peratus.
Projek kedua adalah pembangunan Plot A Logistics Hub di Seksyen 15, dianugerahkan oleh Strategic Sonata bernilai RM584 juta pada Jun 2024. Ia bersebelahan dengan Plot B bernilai RM866 juta yang dibangunkan oleh GDB Holdings.
“Berdasarkan pemerhatian, projek Plot A dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama 2026.
“Projek ketiga ialah Exio Logistics Hub di Elmina dengan nilai kontrak RM284 juta, bermula pada Februari 2025. Projek ini dijalankan melalui usaha sama 50:50 antara IJM RE dan FMM Elmina. Setakat Disember 2025, projek ini dilaporkan lebih 90 peratus siap,” katanya.
Keterlibatan IJM sebagai pemaju industri bukan sahaja membuka aliran pendapatan berulang, tetapi juga meningkatkan kepakaran syarikat dalam membina bangunan industri.
Pada Januari 2024, IJM membeli 25 peratus saham dalam SAILH melalui Global Vision Logistics dengan nilai RM89 juta.
Dari sudut kewangan, IJM mencatatkan pendapatan berulang FY26F sebanyak RM485 juta dan FY27F dijangka meningkat kepada RM533 juta.
EPS berulang FY26F ialah 0.14 sen dengan dividen tetap 0.08 sen. Margin kasar dan margin EBITDA masing-masing dijangka sekitar 19.9 dan 19 peratus.
RHB Research menegaskan bahawa harga saham IJM masih wajar berbanding pesaing, dengan nisbah P/E FY27F sebanyak 18.1 kali.
“Harga sasaran RM3.43 juga mengambil kira premium ESG 2 peratus kerana skor ESG syarikat 3.1 berbanding median negara 3.0,” katanya.
Dari segi struktur perniagaan, IJM mempunyai kepentingan dalam pembinaan, hartanah, perladangan, bahan binaan dan konsesi.
Pendapatan syarikat disokong oleh pesanan pembinaan, jualan hartanah, aktiviti pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan dan hasil daripada konsesi lebuh raya.
RHB Research berkata risiko utama kepada pertumbuhan IJM adalah kegagalan memperoleh kontrak dalam tempoh yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, projek besar seperti perumahan pegawai awam RM1 bilion di Nusantara, Indonesia berpotensi menaikkan harga saham lebih tinggi. - DagangNews.com








