Tiga daerah di Terengganu, Kelantan catat kadar pertumbuhan penduduk tertinggi 2025 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga daerah di Terengganu, Kelantan catat kadar pertumbuhan penduduk tertinggi 2025 - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Tiga daerah di Kelantan dan Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi pada tahun 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Kecil Lojing di Kelantan mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi iaitu 3.6% diikuti dua daerah di Terengganu iaitu Marang (1.6%) dan Kemaman (1.4%). 

 

Selain itu, tiga daerah di Kelantan mencatat peratusan penduduk muda (0-14 tahun) tertinggi, iaitu Gua Musang (32.4%), Kecil Lojing (31.9%) dan Tumpat (31.6%).

 

 

 

 

 

 

 

Dapatan itu adalah hasil statistik berkaitan Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2025 yang diterbitkan DOSM hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tiga daerah di Sarawak pula merekodkan jumlah penduduk terendah iaitu Bukit Mabong (10.7 ribu) diikuti Song (10.4 ribu) dan Tanjung Manis (7.9 ribu).

 

Statistik itu juga mendedahkan terdapat 13 daerah yang menunjukkan nisbah  perempuan melebihi lelaki iaitu Muallim, Perak (92 lelaki bagi setiap 100 perempuan); Bachok, Kelantan (94), Samarahan, Sarawak (94), Song, Sarawak (96), Kubang Pasu, Kedah (97), Saratok, Sarawak (97), Julau, Sarawak (98), Pasir Puteh, Kelantan (98), Tumpat, Kelantan (98), Kanowit, Sarawak (99), Kota Setar, Kedah (99), Machang, Kelantan (99) dan Maradong, Sarawak (99).

 

Sebaliknya, nisbah jantina tertinggi direkodkan di Cameron Highlands, Pahang iaitu 153 lelaki bagi setiap 100 perempuan, diikuti Bukit Mabong, Sarawak (152) dan Belaga, Sarawak (131).

 

Selain itu, 10 daerah di Malaysia telah diklasifikasikan sebagai daerah menua, dengan penduduk berumur 65 tahun ke atas mencapai 7% pada 2025.

 

 

 

10 daerah tersebut ialah Seremban (Negeri Sembilan), Jerantut dan Kuantan (Pahang), Kluang dan Pontian (Johor), Alor Gajah (Melaka), Bachok (Kelantan), Seberang Perai Selatan (Pulau Pinang), Subis (Sarawak), dan Keningau (Sabah).

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan tiga kategori penuaan iaitu masyarakat menua dengan mereka yang berumur 65 tahun ke atas membentuk 7% daripada populasi, masyarakat tua (14%) dan masyarakat sangat tua (20 %). - DagangNews.com