Tiada tanda-tanda pemulihan perbelanjaan iklan, Maybank IB ramal prospek Astro mencabar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada tanda-tanda pemulihan perbelanjaan iklan, Maybank IB ramal prospek Astro mencabar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Prospek Astro Malaysia Holdings Berhad diramal kekal mencabar disebabkan tiada tanda-tanda pemulihan perbelanjaan iklan (adex) dalam tempoh terdekat, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, walaupun terdapat sedikit perkembangan positif dalam pertambahan pelanggan pada Ogos 2025 - merupakan kali pertama sejak 2018 - kebimbangan terhadap ketidakpastian tarif dan keadaan ekonomi terus mengekang keyakinan pengiklan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun Astro menyaksikan kadar penyusutan pelanggan berkurangan dengan ketara berikutan pengenalan pakej Astro One yang lebih mampu milik, daya tahan prestasi jangka panjang kumpulan itu masih bergantung pada pemulihan adex.

 

"Pada masa ini, kami masih meragui sentimen adex akan pulih dalam jangka masa pendek. 

 

"Selain itu, kenaikan tarif elektrik pada 1 Julai 2025 dijangka memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan korporat, sekali gus mengekang bajet pengiklanan," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Astro pada 2QFY26 susut 70% kepada RM16.39 juta disebabkan hasil lebih rendah

 

Terdahulu, pendapatan kumpulan itu pada 2QFY26 turut menyusut 13.23% kepada RM683.21 juta daripada RM787.30 juta, terjejas akibat pendapatan langganan yang lebih rendah, perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan serta penurunan jualan hak penyiaran program.

 

Maybank IB berkata, sementara itu, penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen seliter bermula 30 September 2025 selepas penstrukturan semula subsidi bahan api juga dilihat tidak cukup untuk merangsang sentimen pengiklan secara ketara.

 

Katanya, akibat unjuran yang lebih berhati-hati, anggaran keuntungan bersih teras Astro bagi FY26, FY27 dan FY28 telah dipotong masing-masing sebanyak 43%, 48% dan 39%.

 

"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah kepada 7 sen berbanding 12 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com