KUALA LUMPUR 27 Mei - Projek trem hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) di Sarawak yang mengalami sedikit kelewatan, tidak melibatkan sebarang penambahan kos, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin.
Beliau menjelaskan, projek itu hanya lewat sekitar 3.97 peratus dan tidak menyebabkan kerajaan negeri menanggung perbelanjaan tambahan.
"Walaupun berlaku sedikit kelewatan, tiada lebihan kos dilaporkan setakat ini," katanya seperti laporan New Straits Times ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (DAP–Padungan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Tambah beliau, butiran lanjut mengenai kos pakej yang telah dianugerahkan, akan disediakan secara bertulis kepada Chieng Jen.
Kim Shin pada masa sama berkata, kelewatan daripada pihak kontraktor akan ditangani mengikut prosedur biasa, termasuk menyerahkan dan melaksanakan pelan tindakan bagi mengurangkan kesan kelewatan dan memastikan projek berjalan seperti dirancang.
Beliau juga berkata, menurut perjanjian, kontraktor yang lewat menyiapkan kerja boleh dikenakan denda.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan secara cekap dan telus.
Projek ART adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam bandar secara moden dan mesra alam.
Trem tersebut akan menggunakan tenaga hidrogen dan bergerak tanpa rel di lorong khas sepanjang 52 kilometer merangkumi kawasan Kuching, Samarahan dan Serian.
Projek itu dijangka menelan belanja sekitar RM6 bilion dan dijangka siap dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.
Fasa pertama melibatkan Laluan Merah, manakala Laluan Hijau masih belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak.
Laluan Kuning pula dirancang untuk fasa akan datang.
Kenderaan ART yang direka tanpa pemandu itu, mampu membawa sehingga 300 penumpang dengan kelajuan maksimum 70 kilometer sejam.
Ia dijangka mula beroperasi pada 2026 selepas fasa pertama disiapkan pada akhir 2025. - DagangNews.com








