Tiada kompromi terhadap piawaian halal, tiada perjanjian eksklusif nadir bumi dengan AS - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada kompromi terhadap piawaian halal, tiada perjanjian eksklusif nadir bumi dengan AS - Tengku Zafrul

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan Malaysia berkompromi terhadap piawaian pensijilan halal sebagai sebahagian daripada rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS).

 

Menjawab tuduhan Malaysia akan merendahkan piawaian halalnya sebagai satu konsesi kepada AS, beliau turut menolak dakwaan berkenaan perjanjian eksklusif dengan pihak AS mengenai mineral nadir bumi.

 

"Tiada langsung kompromi terhadap piawaian halal.

 

“Apa yang telah kita persetujui hanya pemudah cara proses import bagi produk yang diperakui halal ke Malaysia, bukan merendahkan piawaian halal kita,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar berkaitan tarif oleh AS di sini, hari ini.

 

Sekatan import halal Malaysia dan keperluan ekuiti Bumiputera dalam syarikat milik asing telah dikenal pasti oleh AS sebagai halangan perdagangan utama. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Amerika Syarikat kurangkan tarif Malaysia kepada 19% daripada 25%

 

Ini antara sebab yang dikemukakan bagi pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 24% ke atas eksport Malaysia.

 

Tengku Zafrul berkata, walaupun proses birokrasi berkaitan import halal mungkin dipermudahkan bagi menyokong kecekapan perdagangan, keperluan agama, perundangan dan kualiti bagi pensijilan kekal tidak berubah.

 

zafrul
Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

Sementara itu, beliau berkata Malaysia tidak lagi membenarkan eksport bahan mentah mineral nadir bumi, sebagai langkah untuk menggalakkan pembangunan hiliran tempatan.

 

“Kami mengambil pendirian tegas dalam hal ini, dan AS tidak pernah meminta hak eksklusif. Semua unsur nadir bumi mesti diproses di Malaysia. Nilainya perlu kekal di sini, bukan digali dan dihantar keluar.

 

“Ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk memperkukuh sektor kritikal dan memastikan kepentingan negara jangka panjang dilindungi. 

 

"Keputusan ini juga berkait rapat dengan pertimbangan alam sekitar dan kelestarian. Kita mesti menguruskan aktiviti perlombongan dengan bertanggungjawab,” katanya.

 

Tengku Zafrul berkata Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing, namun ia mesti melibatkan pemprosesan tempatan, penciptaan pekerjaan dan pemindahan teknologi.

 

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan dasar perindustrian kerajaan yang lebih luas untuk membangunkan rantaian bekalan domestik dan keupayaan teknologi tempatan.

 

Tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke atas eksport Malaysia akan berkuat kuasa mulai 8 Ogos, pada kadar 19%. Kurang daripada 7,000 industri dijangka terjejas. - DagangNews.com