Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3.00 peratus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3.00 peratus

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

 

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan. 

 

Penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dan perdagangan global yang berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan aktiviti yang dilakukan lebih awal dan prospek pertumbuhan global akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal. 

 

"Bagaimanapun, langkah-langkah tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan tindakan balas telah melemahkan prospek pertumbuhan dan perdagangan global. 

 

"Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian yang ketara, termasuk hasil rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik. Ketidakpastian ini juga boleh menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan global yang lebih ketara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bank pusat itu berkata, bagi Malaysia, kegiatan ekonomi terus berkembang pada suku pertama, didorong permintaan domestik yang mampan dan pertumbuhan eksport yang berterusan. 

 

Katanya, pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan ketidakpastian dasar global yang ketara akan menjejaskan sektor luaran tetapi permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi akan menampung eksport. 

 

Pengembangan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional. 

 

"Secara keseluruhan, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada ekonomi rakan-rakan dagangan utama yang semakin lembap susulan sekatan dan tindakan balas perdagangan, sentimen yang lebih lemah berikutan ketidakpastian yang lebih tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya.
 

BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.5% dan 1.9% pada suku pertama tahun 2025. 

 

Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan. Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, lantas menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana. 

 

"Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit," katanya.- DagangNews.com