KUALA LUMPUR 29 Sept – THMY Holdings Bhd, penyedia rumusan ujian automasi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) menyasarkan kutipan sehingga RM44.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025.
Daripada hasil kutipan itu, syarikat merancang memperuntukkan 58.1% untuk pembinaan kilang baharu, manakala 11.7% digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank.
Selebihnya diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan (8.3%), modal kerja (6.9%), perbelanjaan reka bentuk dan penyelidikan & pembangunan (4.3%) serta kos penyenaraian.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ooi Can Nix berkata, pelancaran prospektus IPO itu merupakan detik bersejarah buat syarikat selepas 17 tahun membina kedudukan sebagai rakan global dipercayai dalam industri ujian automasi.
“Bermula daripada pejabat kecil di Perai, Pulau Pinang, kini THMY telah berkhidmat kepada 40 pelanggan multinasional (MNC) pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY2025).
“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan kami serta visi bersama untuk memperkasakan pelanggan dengan kecemerlangan ujian,” katanya dalam ucapan pelancaran prospektus di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, hasil kutipan IPO akan menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan seterusnya, seiring sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 untuk menjana eksport produk E&E bernilai RM1 trilion menjelang 2030.
“Kilang baharu, pembelian mesin dan pengukuhan kapasiti R&D akan memperkukuh asas syarikat dalam industri E&E yang sedang pesat berkembang dipacu megatrend seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data, 5G dan semikonduktor,” jelasnya.
THMY yang ditubuhkan pada 2008, bermula dengan pelanggan pertama daripada syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) tempatan.
Kini, pelanggan utama syarikat terdiri daripada EMS dan pengeluar peralatan asal (OEM) yang berpangkalan di Amerika, Eropah dan Asia Pasifik.
Dari segi prestasi kewangan, THMY mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 96.6% antara FY2022 hingga FY2025, melonjak daripada RM1.3 juta kepada RM10 juta. - DagangNews.com








