KUALA LUMPUR 23 Dis – Think City memperteguhkan peranan dalam masyarakat apabila melancarkan Pusat Komuniti Lenggong, sebuah hab pembelajaran dan kolaborasi yang memberi tumpuan pemeliharaan warisan serta pembangunan sosioekonomi setempat.
Katanya dalam kenyataan, pusat itu diwujudkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai ruang bersama menyokong pembelajaran, perkongsian ilmu dan aktiviti berteraskan warisan yang boleh dimanfaatkan penduduk, badan komuniti, rakan strategik serta pelawat.
Menurut Think City, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Komuniti Mampan Lembah Lenggong (LVSCD) yang dimulakan pada 2023 dengan sokongan Yayasan Hasanah, bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman dan keupayaan komuniti tempatan dalam mengurus warisan budaya, arkeologi dan alam semula jadi.
Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata, usaha di Lenggong mencerminkan perubahan positif dalam cara komuniti berinteraksi dengan warisan mereka sendiri.
“Syarikat melihat komuniti bergerak daripada sekadar mempelajari warisan kepada mengambil pemilikan yang lebih besar terhadapnya. Pusat komuniti ini menyediakan ruang fizikal yang membolehkan kumpulan tempatan meneruskan momentum tersebut dan membina inisiatif secara mampan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan tempat dan dipacu komuniti ini bukan sahaja membantu memelihara identiti Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark, malah membuka peluang ekonomi melalui aktiviti pembelajaran, latihan dan pelancongan berasaskan warisan.
Pusat komuniti itu yang dinaik taraf dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong direka sebagai ruang pelbagai guna yang fleksibel untuk bengkel warisan, sesi latihan serta program pembelajaran jangka panjang.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, pelaburan dalam pembinaan kapasiti komuniti adalah asas kepada pembangunan jangka panjang landskap warisan.
“Apabila komuniti diberi kepercayaan, sokongan dan kesinambungan, mereka bukan sekadar terlibat, tetapi mampu memimpin. Pusat ini memberi asas yang kukuh untuk inisiatif tempatan berkembang dan memberi impak sebenar kepada kehidupan seharian,” katanya.
Pelancaran pusat komuniti itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, sekali gus menandakan fasa baharu penglibatan komuniti tempatan dalam pengurusan dan pemanfaatan khazanah warisan Lembah Lenggong.
UTM pula akan menyokong kesinambungan aktiviti di pusat berkenaan melalui peranannya sebagai Makmal Satelit Penyelidikan Geopark UTM selari dengan aspirasi menjadikan Lenggong sebagai hab pendidikan geopark bertaraf global.
Menurut kenyataan itu lagi, pelancaran Pusat Komuniti Lenggong mencerminkan komitmen bersama Think City, rakan strategik dan komuniti tempatan dalam memastikan pengurusan warisan Lenggong yang berusia hampir dua juta tahun terus relevan, lestari dan memberi manfaat ekonomi kepada generasi kini dan akan datang. - DagangNews.com








