KUALA LUMPUR 17 Julai – Theta Edge Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) untuk meneroka kerjasama dalam inisiatif transformasi digital, dengan tumpuan awal kepada penjejakan halal dalam sektor hospitaliti.
Theta berkata, kerjasama strategik itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam membangunkan dan melaksanakan penyelesaian digital merentas sektor awam dan aset berkaitan kerajaan.
“MoU tersebut merangkumi pelaksanaan projek perintis bukti konsep (POC) bagi penjejakan dan pengurusan halal menggunakan teknologi digital, Internet Kebendaan (IoT) dan platform data di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
“Kerjasama ini turut merangkumi penerokaan potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data dalam ekosistem Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong dasar berasaskan data.
“Sekiranya POC ini berjaya, ia berpotensi untuk diperluas ke peringkat nasional,” kata Theta dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
MoU berkenaan berkuat kuasa pada 16 Julai dan akan kekal sah selama satu tahun kecuali ditamatkan lebih awal, serta boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.
Setiap pihak akan menanggung kos masing-masing, namun Theta akan membiayai kos pembangunan projek di bawah kerjasama ini.
MARA Inc merupakan anak syarikat milik penuh MARA Corporation dan diletakkan di bawah KPLB, terlibat dalam pembangunan hartanah, pengurusan, hospitaliti serta tenaga boleh baharu.
Walaupun MoU tersebut bersifat tidak mengikat dan masih di peringkat awal, Theta menjelaskan ia selari dengan perancangan strategik kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan dalam inisiatif digital berimpak tinggi yang berasaskan platform dalam ekosistem kerajaan. - DagangNews.com








