KUALA LUMPUR 26 Ogos - TH Plantations Berhad berpotensi mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), disokong pemulihan ketara dalam penghasilan buah tandan segar (BTS).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, ia sekali gus membantu mengimbangi kesan daripada penurunan harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM).
Katanya, prestasi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) berada dalam jangkaan, dengan keuntungan bersih teras mencecah RM21 juta, bersamaan 48% daripada anggaran tahunan.
Prestasi kukuh itu sebahagiannya dipacu peningkatan hasil pada 2QFY25 yang menyaksikan pengeluaran BTS melonjak sebanyak 40% secara sukuan, serta harga minyak isirung sawit (PK) yang lebih tinggi sebanyak 40% berbanding tahun lalu.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan BTS kumpulan pada kadar 1% untuk FY25, selepas output 1HFY25 menunjukkan penurunan 7% tetapi masih berada dalam julat sejarah syarikat.
“Kami menjangkakan pendapatan separuh kedua tahun ini akan lebih baik hasil daripada pemulihan kukuh pengeluaran BTS. Ini dijangka dapat mengimbangi tekanan daripada penurunan ASP dan kos operasi yang meningkat,” katanya da nota kajian.
Maybank IB berkata, kadar hutang yang tinggi kekal sebagai kebimbangan utama dengan nisbah hutang bersih kepada ekuiti dianggarkan 103% pada akhir 2024 sekiranya sukuk berjumlah RM300 juta diklasifikasikan sebagai hutang.
Katanya, sebagai langkah mengurangkan hutang, kumpulan itu memperuntukkan RM813 juta dalam bentuk aset untuk pelupusan setakat akhir Jun 2025.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" terhadap saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 54 sen sesaham.- DagangNews.com








