Terengganu sediakan RM2.4 juta dana usahawan dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu sediakan RM2.4 juta dana usahawan dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal

Terengganu sediakan dua skim pembiayaan untuk usahawan belia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 24 Ogos – Golongan belia di Terengganu kini berpeluang mendapatkan pembiayaan bernilai RM2.4 juta melalui Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

Inisiatif itu diperkenalkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu untuk membantu usahawan belia yang berdepan kekangan modal dan kesukaran mendapatkan pembiayaan dari mana-mana institusi perbankan atau agensi keusahawanan yang lain.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi program DUTE manakala RM800,000 adalah untuk skim pembiayaan motosikal.

 

Permohonan dan saringan untuk mendapatkan dua skim pembiayaan itu boleh dibuat di 32 Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu bermula hari ini.

 

Proses kelulusan permohonan dua skim tersebut akan diuruskan oleh Pejabat DUN untuk membuat pemilihan usahawan yang menepati syarat yang telah ditetapkan berdasarkan skim yang bersesuaian dengan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi setiap DUN.

 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman berkata, permohonan terbuka kepada semua jenis perniagaan yang diusahakan golongan belia berumur 18 hingga 40 tahun.

 

"Saya yakin bantuan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya saing di Terengganu. Misalnya, ada usahawan menggunakan dana itu untuk membeli mesin jahit industri, ada pula yang mengembangkan perniagaan makanan dengan memperbaiki sistem pembungkusan, bergantung atas keperluan perniagaan masing masing.

 

"Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha kerajaan sebelum ini melalui pelbagai program dan aktiviti keusahawanan yang telah disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sana Usahawan Terengganu dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal di sini, hari ini.

 

Pemberian dana itu bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan dan membantu mereka meningkatkan peralatan dan operasi.

 

Selain itu, ia juga akan memperkasakan perniagaan kecil ke tahap yang lebih berdaya saing serta menembusi pasaran baharu.

 

Sejak 2019, Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) telah menyalurkan lebih RM30 juta pembiayaan dan geran, melibatkan lebih daripada 5,000 usahawan di negeri itu. - DagangNews.com