Terengganu negeri paling bahagia di Malaysia menurut Indeks Kebahagiaan 2024 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu negeri paling bahagia di Malaysia menurut Indeks Kebahagiaan 2024 - DOSM

Gambar Urus Setia Penerangan Darul Iman
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept – Terengganu muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 menurut Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Negeri lain yang turut tersenarai sebagai sangat bahagia ialah Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01), manakala negeri dengan skor paling rendah adalah Selangor (7.21), Pulau Pinang (7.19) dan Labuan (7.0).

 

 

 

 

 

Analisis peringkat daerah pula menunjukkan 36 daerah dikategorikan sebagai sangat bahagia termasuk Kluang (9.83), Raub (9.52) dan Mersing (9.50). 

 

Daerah yang mencatat skor terendah dalam kategori sangat bahagia pula ialah Kuala Nerus (9.03), Kunak (8.97) dan Kemaman (8.79).

 

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia berada dalam kategori bahagia dengan purata skor 7.60 daripada 10 mata.

 

Buat julung kalinya, laporan MHI itu diterbitkan secara terperinci di peringkat negeri dan daerah pentadbiran, membolehkan analisis lebih menyeluruh dan berfokus untuk dasar pembangunan inklusif.

 

Laporan MHI 2024 juga mendedahkan wanita muda di seluruh negara mencatat tahap kebahagiaan lebih tinggi berbanding lelaki, dengan skor 7.62 berbanding lelaki 7.57. 

 

t

 

Golongan remaja berumur 15 hingga 19 tahun muncul sebagai kumpulan paling bahagia, menunjukkan tahap kesejahteraan tinggi di kalangan generasi muda.

 

Indeks Kebahagiaan Malaysia itu dibangunkan berdasarkan Kajian Kebahagiaan Malaysia, menilai kesejahteraan rakyat melalui empat dimensi utama: fizikal, sosial, emosi dan spiritual. 

 

Ia menggabungkan 94 indikator dalam 13 komponen kebahagiaan, termasuk agama dan kerohanian, keluarga, pendidikan, kesihatan, pengurusan masa, perumahan serta kehidupan bekerja.

 

Daripada segi komponen, faktor agama dan kerohanian (8.69) serta keluarga (8.64) menjadi penyumbang utama kepada kebahagiaan rakyat Malaysia. 

 

Faktor lain seperti pengurusan masa (7.82), pendidikan (7.81), kesihatan (7.79), perumahan dan persekitaran (7.67) serta kehidupan bekerja (7.58) turut memberi impak positif.

 

Bagaimanapun, komponen pendapatan (6.40) dan budaya (6.22) mencatat skor paling rendah, walaupun masih berada dalam kategori bahagia. 

 

Ini membuktikan cabaran berkaitan ekonomi dan pemeliharaan budaya perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

Daripada perspektif geografi, penduduk bandar lebih bahagia (7.61) berbanding mereka yang tinggal di luar bandar (7.56), menunjukkan kesejahteraan sosial hampir seimbang di seluruh negara.

 

Laporan itu menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal, emosi, sosial dan spiritual sebagai asas kepada kualiti hidup rakyat.

 

 

 

 

 

Kombinasi faktor keluarga, agama dan kerohanian menjadi penentu utama tahap kebahagiaan, manakala aspek ekonomi dan budaya masih menjadi bidang yang memerlukan perhatian.

 

Dengan penerbitan terperinci di peringkat negeri dan daerah, MHI 2024 menyediakan data yang penting bagi pembuat dasar dalam merangka program pembangunan inklusif berasaskan bukti, serta memantau kesejahteraan rakyat di seluruh negara. - DagangNews.com