Terengganu jalin kerjasama dengan ACWA Power dari Arab Saudi bangunkan projek tenaga solar di Tasik Kenyir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu jalin kerjasama dengan ACWA Power dari Arab Saudi bangunkan projek tenaga solar di Tasik Kenyir

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Terengganu terus mengorak langkah menjadi hab tenaga bersih serantau dengan menjalin kerjasama strategik berimpak tinggi bersama ACWA Power, syarikat gergasi tenaga boleh diperbaharui dari Arab Saudi.

 

Projek pembangunan tenaga solar berskala besar di Tasik Kenyir itu turut melibatkan kerjasama kerajaan negeri melalui entiti pelaburannya, Terengganu Inc Sdn Bhd.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek itu masih berada dalam fasa akhir perbincangan terknikal sebelum dimuktamadkan.

 

“Apabila siap nanti, ia akan menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan membuka peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

 

“Selain itu, ia akan mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelaburan strategik dalam teknologi bersih di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Baru-baru ini, Terengganu menerima kunjungan daripada ACWA Power yang diketuai Pengerusinya, Mohamad Abunayyan bersama kepimpinan tertinggi yang lain.

 

Kedatangan mereka disambut Ahmad Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

 

Dalam pertemuan itu, fokus perbincangannya adalah kepada beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan tenaga solar berskala besar di Tasik Kenyir, teknologi penyahgaraman air, serta penghasilan hidrogen hijau.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, usaha itu selaras dengan agenda peralihan tenaga Malaysia dan aspirasi Terengganu untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.

 

Pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir, dekat Hulu Terengganu.

 

Projek tenaga alternatif baharu, bersih dan itu juga bertepatan dengan aspirasi tenaga hijau yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa dan dasar tenaga Malaysia. - DagangNews.com