KUALA LUMPUR 29 April – Terengganu Incorporated terus mengukuhkan kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi lawatan hormat kepimpinan tertinggi syarikat utiliti itu ke negeri Terengganu.
Delegasi TNB diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad, bersama Ketua Pegawai Rangkaian Kanan, Ir Mahathir Nor Ismail serta Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Shahrir Abdul Latiff.
Ketibaan delegasi itu disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun di Wisma TI, dalam suasana penuh mesra dan profesional.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan secara konstruktif mengenai pelbagai bidang kerjasama strategik, khususnya dalam sektor tenaga dan pembangunan ekonomi negeri.
Sebagai sebahagian daripada program rasmi itu, Burhanuddin turut mengiringi Shamsul serta delegasi TNB mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kediaman Seri Iman.
Lawatan tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan pemain utama industri tenaga negara, sekali gus membuka peluang kerjasama lebih luas pada masa hadapan.
Fokus utama perbincangan adalah terhadap kemajuan projek solar terapung di Tasik Kenyir yang merupakan antara inisiatif tenaga boleh diperbaharui berskala besar di Malaysia.
Projek itu mencerminkan komitmen bersama Terengganu Inc dan TNB dalam mempercepatkan pembangunan tenaga lestari, sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga hijau.
Selain itu, kerjasama ini turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi dalam sektor tenaga.
Langkah proaktif kedua-dua pihak ini juga memperlihatkan kesediaan mereka untuk menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah masa depan yang lebih mampan dan rendah karbon.
Secara keseluruhan, lawatan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Terengganu sebagai antara hab penting pembangunan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mempererat hubungan strategik jangka panjang antara Terengganu Inc dan TNB. - DagangNews.com








