Terengganu Inc catat untung RM42 juta, pendapatan cecah RM1.75 bilion pada FY2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu Inc catat untung RM42 juta, pendapatan cecah RM1.75 bilion pada FY2024

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 8 Sept – Terengganu Incorporated Sdn Bhd syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan negeri mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM1.75 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024 (FY24) meningkat 15% berbanding tahun sebelumnya.

 

Lonjakan ini didorong oleh kekuatan sektor teras kumpulan iaitu perladangan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan yang secara kolektif menyumbang lebih 80 peratus daripada hasil keseluruhan. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pencapaian itu memperlihatkan keupayaan Kumpulan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan meskipun dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, sektor perladangan kekal sebagai penyumbang utama dengan 36% hasil kumpulan, didorong oleh harga minyak sawit mentah yang stabil dan peningkatan produktiviti ladang. 

 

“Industri ini terus menjadi nadi penting kepada ekonomi Terengganu, bukan sahaja menyumbang kepada hasil kewangan syarikat, malah menyokong rantaian bekalan dan peluang pekerjaan tempatan.

 

“Sektor minyak dan gas pula menyumbang 23.1 peratus kepada hasil, mengekalkan kedudukannya sebagai pemacu kedua terbesar.

 

“Selain itu, sektor penjagaan kesihatan menyumbang 20.3 peratus terhadap hasil Kumpulan mencerminkan prospek cerah industri berkenaan yang semakin mendapat perhatian,” katanya ketika ditemui DagangNews.com di pejabat Terengganu Inc dekat Chendering di sini hari ini.

 

t
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun

 

Tambahnya, sektor tenaga dan sumber asli menyumbang 13.4%, infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan (4.4%), pelancongan (1.5%) serta pelaburan lain (1.3%).

 

Beliau berkata, sumbangan pelbagai kluster ini menunjukkan keupayaan kumpulan dalam mengekalkan kepelbagaian portfolio perniagaan.

 

“Dari segi keuntungan, Terengganu Inc mencatat untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM81.7 juta, melonjak lebih tiga kali ganda berbanding RM26 juta pada tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan selepas cukai (PAT) pula mencecah RM42.2 juta, berbanding kerugian selepas cukai RM5.8 juta pada FY2023. 

 

“Perubahan daripada kerugian kepada keuntungan ini memperlihatkan keberkesanan langkah pengurusan operasi, pengoptimuman kos serta strategi pelaburan yang lebih berfokus,” katanya.

 

Jumlah aset kumpulan turut meningkat kepada RM3.85 bilion pada akhir FY2024 berbanding RM3.76 bilion pada FY2023, manakala ekuiti pemegang saham mencecah RM1.69 bilion. 

 

Liabiliti pula berada pada paras RM2.16 bilion, mencerminkan kedudukan kewangan yang lebih stabil dengan struktur modal seimbang.

 

Margin EBITDA kekal stabil pada 16%, sementara margin keuntungan bersih meningkat kepada 2% berbanding negatif 0.4% tahun lalu, memberi gambaran jelas terhadap hala tuju yang lebih mampan dalam pengurusan operasi.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, segmen infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan menunjukkan pertumbuhan luar biasa apabila berjaya menggandakan hasil berbanding tahun sebelumnya, hasil daripada pelaksanaan kontrak yang berjalan secara progresif.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Segmen pelancongan juga mencatat pemulihan kukuh berikutan peluasan operasi perhotelan dan peningkatan aktiviti pelancongan domestik, sekali gus memberi sumbangan positif walaupun berskala kecil.

 

“Secara keseluruhan, prestasi FY2024 membuktikan bahawa Terengganu Inc berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan strategi kepelbagaian perniagaan, selain mengukuhkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan pasaran,” katanya. - DagangNews.com