Terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual terhadap Zara Qairina, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual terhadap Zara Qairina, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Siasatan terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, mendedahkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

 

“Ya, saya nyatakan dengan jelas di sini memang terdapat unsur buli.

 

“Terdapat juga unsur pengabaian kerana Zara Qairina pernah membuat aduan kepada pihak sekolah mengenai gangguan yang dihadapinya. Selain itu memang ada unsur gangguan seksual yang sedang disiasat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 

Saifudin turut mengesahkan kertas siasatan lengkap telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya, manakala inkues koroner akan bermula pada 3 September di Kota Kinabalu.

 

“Pagi ini, polis telah menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Peguam Negara.

 

“Sekarang terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada bukti yang dikumpul mencukupi untuk tindakan seterusnya,” katanya.

 

Beliau berkata siasatan polis dijalankan secara menyeluruh, melibatkan keterangan daripada 195 saksi sejak remaja itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asramanya pada 16 Julai.

 

“Polis turut meneliti diari Zara sepanjang 51 muka surat yang diserahkan oleh seorang guru, yang memuatkan catatan peribadi mengenai kesusahan dan isu yang dihadapinya.

 

“Diari itu adalah bahagian penting siasatan, melengkapkan keterangan saksi daripada rakan-rakan yang tinggal di asrama yang sama.

 

“Semua ini membentuk sebahagian daripada siasatan komprehensif yang kini berada di hadapan Peguam Negara,” katanya.

 

Saifuddin turut menolak dakwaan terdapat usaha untuk menutup kes ini dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

 

“Walaupun terdapat kekurangan dari sudut prosedur oleh pegawai penyiasat pada peringkat awal, ia tidak menjejaskan integriti keseluruhan siasatan, terutamanya selepas pasukan dari Bukit Aman mengambil alih.

 

“Tiada usaha untuk menutup kes. Setiap langkah dijalankan mengikut prosedur operasi standard,” katanya.

 

Beliau menegaskan pihak berkuasa telah bertindak pantas pada setiap peringkat, dari respons perubatan hingga keputusan untuk menggali semula mayat Zara bagi bedah siasat kedua selepas ibunya membangkitkan kebimbangan mengenai lebam pada badan.

 

“Setiap langkah, termasuk penggalian semula dan bedah siasat, dijalankan secara telus dengan kehadiran majistret, ibu, peguam keluarga dan pakar forensik,” kata Saifuddin.

 

Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah untuk “mencari kebenaran dan menegakkan keadilan untuk Zara,” sambil memberi jaminan tiada sesiapa akan dilindungi tanpa mengira status, gelaran atau jawatan. - DagangNews.com