KUALA LUMPUR 21 Julai - Terdapat “penyelewengan serius” dan “kelemahan” dalam projek dan program di tujuh kementerian yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM48.78 bilion, menurut laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan, hari ini.
LKAN yang terkini turut mengemukakan 22 syor kepada kementerian, jabatan, dan syarikat yang terlibat, kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan.
Katanya, audit susulan yang dijalankan dari 2024 hingga Jun 2025 membantu kerajaan memulihkan sebanyak RM157.73 juta melalui penalti, cukai dan denda, serta kutipan ganti rugi yang ditentukan (liquidated ascertained damages), tunggakan sewa dan pajakan.
Susulan pindaan terkini terhadap Akta Audit 1957, Jabatan Audit Negara kini diberi kuasa untuk membuat pemantauan terhadap tindakan yang diambil susulan isu, syor, atau ulasan yang dibangkitkan dalam LKAN.
Antara lain, Ketua Audit Negara telah menemui masalah dalam pengambilan pajakan ladang kelapa sawit oleh Felcra Bhd yang melibatkan RM241.76 juta dari tahun 2022 hingga 2024, serta dalam proses perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi tender bernilai RM58.45 juta.
Ketua Audit Negara turut menyorot kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan kenderaan berperisai Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi tempoh 2020 hingga 2023, menurut Jabatan Audit Negara.
Laporan itu juga menekankan kelemahan dalam pelaksanaan, pemantauan, dan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup — khususnya dalam kegagalan menyasarkan penerima yang sepatutnya dan pengagihan kuota yang tidak berkesan.
Kaedah perolehan prakelayakan terpilih yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan bagi projek-projek pada tahun 2023 dan 2024 pula didapati mudah dimanipulasi, kerana syarikat yang tidak layak masih disenarai pendek untuk penilaian akhir.
Selain itu, “proses perolehan juga mengambil masa yang lama dan melebihi tempoh yang telah ditetapkan,” tambah Ketua Audit Negara. - DagangNews.com








