KUALA LUMPUR 30 Julai - Cadangan terbitan bonus waran oleh Berjaya Food Bhd (BFood) dijangka membantu syarikat menjana modal baharu, namun CIMB Securities bimbang syarikat itu akan terus mencatat kerugian dalam masa terdekat disebabkan saingan sengit dan tekanan kos.
BFood akan menerbitkan sehingga 885.9 juta waran percuma baharu, berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham yang dipegang.
Katanya, langkah korporat itu membolehkan syarikat mengukuhkan asas modalnya tanpa menanggung hutang tambahan atau pencairan segera.
Firma penyelidikan itu berkata, waran tersebut mempunyai tempoh matang selama 10 tahun, manakala harga pelaksanaan masih belum ditetapkan.
CIMB Securities menganggarkan, pelaksanaan penuh waran itu boleh meningkatkan modal saham terbitan BFood daripada 1.8 bilion saham kepada kira-kira 2.7 bilion saham, tidak termasuk saham perbendaharaan (175 juta saham; 9.9% daripada jumlah saham terbitan).

Ia meramalkan, langkah itu akan mengurangkan nilai buku sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) daripada 10.7 sen kini kepada 7.1 sen (tidak termasuk saham perbendaharaan) atau 6.7 sen (termasuk saham perbendaharaan).
"Kami menjangkakan BFood akan terus mencatat kerugian dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Walaupun terdapat tanda-tanda awal pemulihan daripada kesan boikot yang berkaitan dengan konflik Israel-Palestin, sentimen pengguna yang lemah dan peningkatan kos operasi dijangka terus menekan pemulihan pendapatan syarikat,” kata firma penyelidikan tersebut dalam satu nota kajian.
Harga pelaksanaan waran boleh ditetapkan pada premium sehingga 20% berbanding harga purata mengikut jumlah dagangan (VWAP) lima hari dagangan BFood, sehingga dan termasuk hari pasaran terakhir sebelum tarikh penetapan harga.
Cadangan terbitan bonus waran itu akan dilaksanakan dalam satu peringkat (tranche). Tarikh kelayakan akan ditentukan dan diumumkan kemudian, selepas semua kelulusan berkaitan diperoleh.

Cadangan itu dijangka disiapkan menjelang akhir tahun ini. Tan Sri Vincent Tan mempunyai kepentingan sebanyak 63.58% dalam BFood, tambah firma penyelidikan itu.
CIMB Securities mengekalkan saranan “kurang” terhadap BFood dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 28 sen sesaham, yang ditentukan berdasarkan 2.2 kali nilai harga kepada nilai buku FY26, sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan waran yang dicadangkan dan pengumuman keputusan kewangan FY25.
"Saranan "kurang" itu adalah berdasarkan kelemahan ekuiti jenama Starbucks di Malaysia serta persaingan yang semakin sengit dalam sektor makanan dan minuman tempatan, yang dipacu oleh perkembangan pesat jenama tempatan. Ini berkemungkinan menjejaskan pegangan pasaran BFood,” katanya.- DagangNews.com








