Telco Sarawak, Reach Ten sasar kumpul RM104 juta melalui IPO Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Telco Sarawak, Reach Ten sasar kumpul RM104 juta melalui IPO Pasaran Utama

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 9 April - Reach Ten Holdings Bhd merancang untuk mengumpul RM104 juta menerusi IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi membiayai peluasan infrastruktur.

 

Semasa pelancaran prospektus, syarikat telekomunikasi berpusat di Sarawak itu menyatakan RM60 juta (57.7%) akan digunakan untuk memperluas rangkaian gentian optik di Kuching dan menubuhkan tiga rangkaian baru di Miri, Sibu, dan Bintulu.

 

Sebanyak RM25 juta (24%) akan digunakan untuk membina 100 menara telekomunikasi 4G atau 5G di Sarawak terutama di Miri, Sibu, dan Bintulu.

 

RM4.3 juta (4.1%) akan digunakan untuk meningkatkan rangkaian satelit dan perkhidmatan, manakala RM5 juta (4.8%) untuk modal kerja, RM1.7 juta (1.6%) untuk pembayaran pinjaman, dan RM8 juta (7.7%) untuk kos penyenaraian.

 

Reach Ten akan mengeluarkan 200 juta saham baru dan menawarkan 100 juta saham sedia ada. 

 

Daripada saham terbitan, 50 juta akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 25 juta untuk pengarah, pekerja, dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, dan baki 125 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri.

 

Harga IPO ditetapkan 52 sen sesaham, dengan penilaian pasaran Reach Ten dijangka mencapai RM520 juta selepas penyenaraian.

 

Pengarah Urusannya, Leo Chin berkata, pihaknya berhasrat meluaskan rangkaian gentian optik, meningkatkan kapasiti satelit, dan membangunkan penyelesaian digital untuk menyediakan sambungan tanpa gangguan di seluruh Sarawak. 

 

"Hasil IPO ini akan membolehkan kami mengembangkan infrastruktur rangkaian komunikasi gentian optik sedia ada di Kuching, yang akan membolehkan kami mencapai kawasan yang kurang dilayan atau baru dibangunkan, menarik pelanggan baru, dan seterusnya meningkatkan bahagian pasaran kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Penyenaraian Reach Ten di Pasaran Utama Bursa Securities dijadualkan pada 2 Mei 2025.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penjamin, dan ejen penempatan bagi IPO itu.- DagangNews.com