KUALA LUMPUR 15 Jun – KPJ Healthcare Berhad memastikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang diterapkan dalam sistem penjagaan kesihatan di hospitalnya mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan piawaian etika global.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) menjadi keutamaan bagi menjamin keselamatan maklumat pesakit.

"Kami sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyepadukan AI secara strategik dalam platform kesihatan tanpa menjejaskan integriti dan keselamatan data pesakit," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Chin, baru-baru ini beliau menyertai panel forum Global Platform anjuran Mayo Clinic di Amerika Syarikat bagi membincangkan cabaran serta garis panduan penggunaan AI dalam kesihatan, khususnya berkaitan perlindungan data peribadi dan pematuhan undang-undang.

Selaras dengan perbincangan di forum tersebut, KPJ kini sedang meneliti pendekatan terbaik untuk memperkukuh penggunaan AI secara selamat dan beretika dalam persekitaran penjagaan kesihatan.
Mengulas hala tuju lima tahun KPJ, beliau menyatakan ia merupakan fasa kritikal dalam usaha memperluas penggunaan teknologi kesihatan kepada masyarakat secara menyeluruh.
Seiring dengan tema "Menerajui Inovasi dan Inklusiviti Menerusi AI", inisiatif digital seperti AiNNOVATION 2025 adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi kumpulan menerusi KPJ Health System, yang menumpukan kepada penyampaian rawatan lebih bersepadu dan berpusatkan pesakit di seluruh rangkaiannya.

Chin berkata, KPJ bukan hanya menekankan kecemerlangan klinikal, sebaliknya turut menggerakkan KPJ University sebagai platform pendidikan dalam meningkatkan kesedaran dan standard penjagaan kesihatan.
Pelaburan dalam bidang penyelidikan turut diperkukuh bagi meneroka keperluan yang belum dipenuhi dalam sains hayat perubatan.
"Kita mahu menyatukan tiga komponen utama termasuk pendidikan, penyelidikan, dan klinikal, bagi memperkukuh posisi kumpulan sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang unggul dan berdaya saing," tambah beliau.
Penggunaan AI kini semakin diperkasakan secara berperingkat di seluruh rangkaian KPJ yang turut merangkumi usaha ke arah memperluas perkhidmatan penjagaan di rumah, selari dengan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih holistik dan menyeluruh.- DagangNews.com








