Tekanan kos kontrak lama berakhir, margin Pintaras Jaya diramal bertambah baik - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan kos kontrak lama berakhir, margin Pintaras Jaya diramal bertambah baik - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Margin keuntungan Pintaras Jaya Berhad dipercayai kekal kukuh dalam suku-suku tahun akan datang selepas tekanan kos daripada kontrak lama yang merugikan telah selesai, sekali gus memberikan laluan kepada prospek pendapatan yang lebih stabil.

 

RHB Research berkata, syarikat cerucuk dan pembinaan itu melaporkan keputusan kewangan positif pada FY25 dengan keuntungan teras berjumlah RM26.4 juta, meningkat lebih 100% dari tahun ke tahun dan mengatasi jangkaan pasaran apabila mencapai 109% daripada unjuran setahun penuh.

 

Katanya, prestasi itu didorong oleh margin yang lebih baik selepas penyiapan projek legasi.

 

Berikutan keputusan tersebut, firma penyelidikan itu menaikkan sasaran harga saham kumpulan kepada RM2.15 sesaham, bersamaan dengan potensi kenaikan 40% serta unjuran hasil dividen sekitar 4% bagi FY26.

 

"Segmen pembinaan terus mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan untung kasar RM7.4 juta pada 4QFY25, berbanding kerugian RM9.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, disokong aktiviti pembinaan yang lebih kukuh di Singapura. 

 

"Segmen pembuatan merekodkan untung kasar RM1.6 juta, susut 42% tahun ke tahun berikutan jualan yang lebih rendah.

 

RHB Research berkata, sehingga akhir Jun 2025, buku pesanan tertunggak kumpulan berjumlah RM375 juta melibatkan projek rel, kediaman swasta dan projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura manakala buku tender pula kekal pada paras RM3.5 bilion.

 

Melangkah ke hadapan, projek besar yang dijangka menyokong penambahan buku pesanan dalam separuh kedua 2025 termasuk pembangunan HDB baharu dan Laluan MRT Cross Island (Fasa 3). 

 

Selain itu, kerja substruktur untuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi turut membuka peluang baharu, mengingatkan kembali penglibatan Pintaras Jaya semasa pembinaan Terminal 4 sebelum ini.

 

Pemangkin penarafan semula termasuk potensi penglibatan kumpulan dalam kerja cerucuk Terminal 5 Changi yang dijangka bermula pada awal 2026. Namun, risiko kekal wujud sekiranya penambahan kontrak baharu lebih perlahan daripada jangkaan atau berlaku kelewatan projek.- DagangNews.com