Tekanan berterusan sektor hartanah, Paramount turunkan sasaran jualan FY25 kepada RM1.2 bilion - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan berterusan sektor hartanah, Paramount turunkan sasaran jualan FY25 kepada RM1.2 bilion - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Tekanan berterusan dalam sektor hartanah dan ketidaktentuan ekonomi semasa menyaksikan Paramount Corporation Berhad menurunkan sasaran jualan sebanyak 20% kepada RM1.2 bilion bagi FY25 berbanding RM1.5 bilion, kata TA Securities.

 

Katanya, jumlah pelancaran projek baharu yang dirancang juga dikurangkan kepada RM1 bilion berbanding RM1.4 bilion bagi menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang tidak menentu dan kelemahan permintaan.

 

"Keputusan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga oleh pihak pengurusan, yang melihat tekanan yang berterusan dalam sektor hartanah serta ketidaktentuan ekonomi yang memberi impak kepada sentimen pembeli dan aktiviti pelaburan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Paramount mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM36.2 juta pada 1HFY25, mewakili 41% daripada unjuran tahunan. 

 

Katanya, walaupun keuntungan meningkat sebanyak 13% dari tahun ke tahun, prestasi jualan hartanah kurang memberangsangkan akibat pengurangan pelancaran projek baru sebanyak 80% berbanding 1HFY24.

 

Dalam pada itu, segmen ruang kerja bersama menunjukkan potensi pemulihan dengan peningkatan pendapatan sebanyak 52% YoY. 

 

"Prestasi kewangan segmen ini dijangka bertambah baik pada 2HFY25, disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi di ruang Co-labs Coworking serta sumbangan daripada projek reka bentuk dan binaan Scalable Malaysia. 

 

"Co-labs juga merancang untuk memperluas kehadiran ke luar Lembah Klang dengan pelancaran ruang baru di Johor Bahru pada suku keempat FY25," katanya.

 

TA Securities berkata, Paramount berusaha mengukuhkan kedudukan dalam pasaran hartanah yang mencabar sambil terus memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam segmen ruang kerja bersama yang sedang berkembang. 

 

Katanya, pengurusan akan terus memantau keadaan ekonomi dan pasaran bagi memastikan strategi perniagaan yang sesuai dan responsif kepada perubahan dinamik pasaran.

 

"Kami mengekalkan "beli" dengan harga sasaran RM1.46 sesaham," katanya. - DagangNews.com