KUALA LUMPUR 14 Okt - Sektor pembungkusan plastik dijangka terus berdepan pelbagai cabaran berikutan tekanan kos operasi yang meningkat, persaingan sengit dalam pasaran, serta ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang asing, kata Kenanga Research.
Katanya, prospek sektor itu bagi tahun 2025 hingga 2026 kekal lemah disebabkan ketidaktentuan perdagangan global dan risiko kelembapan ekonomi dunia yang boleh menjejaskan permintaan keseluruhan.
Bagaimanapun, permintaan terhadap produk filem pembungkusan premium kekal memberangsangkan tetapi purata harga jualan (ASP) ektor itu masih tertekan akibat harga kompetitif dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Trend ini turut digambarkan melalui prestasi keuntungan kasar yang lebih lemah walaupun hasil kekal stabil.
"Impak langsung tarif lebih tinggi oleh AS terhadap sektor pembungkusan plastik Malaysia adalah kecil memandangkan eksport ke AS hanya menyumbang kurang 10% daripada jumlah hasil keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, ketegangan perdagangan dunia menimbulkan ketidaktentuan kepada banyak perniagaan, terutama kerana sebahagian besar bahan pembungkusan plastik digunakan dalam aktiviti perniagaan antara negara termasuk sektor logistik dan penghantaran.
Katanya, sejak tahun 2024, pemain industri sektor pembungkusan plastik dilapor berdepan pertumbuhan permintaan yang lemah serta persaingan lebih sengit disebabkan lebihan kapasiti pengeluaran.
Lebih memburukkan keadaan, peralihan permintaan dari China oleh pembeli AS dan Eropah menyebabkan pengeluar China membanjiri pasaran Asia Tenggara dengan harga jualan yang lebih rendah.
Kenanga Research berkata, selain itu, pengeluar turut berdepan tekanan daripada kenaikan kos operasi bukan resin, termasuk peningkatan gaji minimum yang mula berkuat kuasa tahun ini.
Katanya, faktor itu dijangka mengurangkan keuntungan pengeluar tempatan sebanyak 5% hingga 10%.
"Walaupun harga resin menurun sekitar 4% tahun ke tahun dalam separuh pertama 2025, harga minyak mentah yang kekal tinggi dan keputusan OPEC untuk meningkatkan pengeluaran dijangka mengehadkan sebarang penurunan ketara dalam kos bahan mentah tersebut.
“Persaingan daripada pemain China dan tempatan dijangka berterusan dan semakin ketara, khususnya dalam segmen pembungkusan industri berbanding produk pengguna,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor pembungkusan plastik memandangkan tiada pemangkin ketara dalam masa terdekat untuk menaikkan margin atau purata harga jualan.- DagangNews.com








