KUALA LUMPUR 2 Okt – Projek pembinaan Tegas Lodge Sarawak dengan peruntukan melebihi RM20 juta bakal dimulakan November ini yang akan mencetus perubahan kepada ekosistem ekonomi digital negeri.
Pusat sehenti yang dibangunkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia apabila menggabungkan kemudahan penginapan, ruang kerja serta aktiviti rekreasi di bawah satu bumbung.
Pengerusi Tegas merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia dibina bukan sahaja untuk digital nomad tempatan, malah terbuka kepada mana-mana individu dari seluruh dunia.
“Mereka boleh bekerja, tinggal dan menjalankan aktiviti di satu lokasi lengkap dengan kemudahan moden.
“Ia dijangka siap pada 2028 dan diyakini mampu menjadi tarikan baharu dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital Sarawak,” katanya kepada pemberita di Malam Penghargaan Media TEGAS 2025 di Kuching malam tadi.
Pembinaan Lodge Sarawak itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri memperkukuh Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak.
Ia seiring visi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Open untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi melalui transformasi digital.
Tambahnya, pusat sehenti digital itu turut dirancang untuk menggabungkan elemen eko-pelancongan dengan pembangunan taman rekreasi.
“Kita mahu menjadikan kawasan ini bukan sahaja sebagai hab ekonomi digital tetapi juga pusat ilmu flora dan fauna tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk pendidikan dan kajian pelajar.
“Projek itu diharap menjadi mercu tanda baharu yang mencerminkan komitmen Sarawak dalam memacu ekonomi digital sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Sebelum ini, projek Tegas Digital Village telah dilancarkan pada tahun 2022 untuk merancakkan lagi pembangunan teknologi, inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak.
Ia diinspirasikan dari Silicon Valley, Amerika Syarikat untuk memberi peluang kepada syarikat pemula berkembang menjadi syarikat bertaraf antarabangsa.
Tegas Lodge Sarawak pula akan berfungsi sebagai kemudahan sokongan kepada Tegas Digital Village dalam menyediakan penginapan dan ruang kondusif untuk komuniti digital di Sarawak. - DagangNews.com








