KUALA LUMPUR 20 Ogos – Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia tahun ini dengan melancarkan siri minuman durian edisi terhad yang diinspirasikan daripada raja buah kegemaran rakyat negara ini.
Siri minuman tawaran masa terhad itu boleh didapati di semua cawangan Tealive di seluruh negara dengan tiga pilihan minuman iaitu durian premium D24: Snowy Bang Bang Durian Milk Tea (RM13.90), Bang Bang Durian Milk Kaw Kaw (RM13.90) dan Jasmine Durian Light Milk Tea (RM11.90).
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, setiap minuman menggabungkan rasa durian yang lazat dengan elemen budaya teh yang popular.
Katanya, siri minuman durian itu direka untuk meraikan salah satu khazanah ikonik negara yang menepati cita rasa pengguna masa kini.
“Durian adalah simbol penyatuan rakyat Malaysia yang terkenal dan diterima ramai di dalam serta luar negara.
“Kami menzahirkan rasa bangga dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini melalui minuman istimewa yang mencerminkan identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan.


Pelancaran rasmi siri minuman itu akan berlangsung di Festival Tealive’s Durian Beats pada 22 Ogos di Lanai@Matic, Jalan Ampang.
Festival ini juga merupakan salah satu inisiatif sambutan Hari Kebangsaan-Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Ia turut menampilkan persembahan muzik, komedi dan aktiviti kebudayaan dengan kehadiran bekas Menteri Kesihatan yang kini menjadi juruhebah terkenal, Khairy Jamaluddin yang akan memeriahkan festival dengan set DJ istimewa.
Tambahnya, buah durian untuk siri minuman itu dibekalkan oleh pengeksport terkemuka di Malaysia dan diperoleh daripada dusun sekitar Bentong, Raub, Tangkak dan Gua Musang, bagi memastikan bekalan berterusan sepanjang tahun.
“Tealive mensasarkan jualan lebih 500,000 cawan sepanjang kempen ini. Bagi mereka yang bukan peminat durian, minuman alternatif berasaskan jagung turut disediakan untuk menyertai sambutan.
“Selain itu, pelanggan boleh membawa pulang minuman ini melalui pek 3 dalam 1 edisi terhad Tealive termasuk pilihan Durian Milk Tea atau Durian Coffee, eksklusif di festival dan platform e-dagang,” katanya.
Tealive akan terus meraikan rasa ikonik dan kekayaan budaya tempatan dalam produk dan kempen masa depan, seiring dengan moto jenama, “Lahir di Malaysia, Dibangunkan untuk Dunia”.
Ketika ini, Tealive mempunyai lebih daripada 950 cawangan di seluruh dunia telah beroperasi di Filipina, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Brunei, Mauritius, Kanada, Singapura, UAE serta bakal memasuki India dan Thailand. - DagangNews.com








