Tawaran pengambilalihan Kim Hin Industry pada 85 sen tidak adil dan tidak munasabah, New Paradigm syor pemegang saham tolak tawaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran pengambilalihan Kim Hin Industry pada 85 sen tidak adil dan tidak munasabah, New Paradigm syor pemegang saham tolak tawaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Penasihat bebas Kim Hin Industry Bhd menasihatkan pemegang saham minoriti supaya menolak tawaran pengerusi syarikat, Chua Seng Huat, untuk menyahsenaraikan syarikat itu pada harga 85 sen sesaham, dengan menyatakan tawaran itu adalah tidak adil dan tidak munasabah.

 

Dalam pekeliling nasihat bebas, New Paradigm Securities Bhd berkata, tawaran 85 sen sesaham oleh Seng Huat adalah RM2.25 atau 72.58% lebih rendah daripada anggaran nilai Kim Hin sebanyak RM3.10 sesaham.

 

Nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) tersebut berdasarkan kepada kewangan tidak diaudit Kim Hin setakat 31 Mac 2025, termasuk nilai terkini aset hartanahnya. Katanya, nilai tawaran itu adalah kurang daripada separuh nilai Kim Hin berdasarkan aset bersih sebanyak RM1.88 sesaham.

 

Setakat 31 Mac 2025, kumpulan itu memiliki aset bukan semasa bernilai RM180.56 juta dan aset semasa sebanyak RM209.53 juta, menjadikan jumlah aset sekitar RM390.1 juta.

 

"Anggaran RNAV dibuat dengan andaian Kim Hin boleh melupuskan semua asetnya di pasaran terbuka melalui transaksi antara pembeli dan penjual yang bersedia, dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

 

"Namun begitu, ia memberi amaran tiada jaminan semua aset akan dapat dijual pada nilai pasaran penuh," katanya.

 

Penasihat bebas menyatakan bahawa walaupun tawaran tersebut adalah lebih 80% lebih tinggi berbanding harga pasaran baru-baru ini, ia masih jauh lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat.

 

Penasihat itu turut menyatakan, saham Kim Hin telah lama tidak cair dan memberi amaran aktiviti dagangan lampau tidak menjamin kecairan pada masa hadapan, yang bergantung kepada prestasi syarikat dan keadaan pasaran. 

 

Ia juga menegaskan, tawaran tersebut adalah tidak munasabah memandangkan syarikat masih memenuhi keperluan pegangan saham awam dan kekal tersenarai. 

 

Seng Huat dan pihak yang membuat tawaran bersama kini memiliki 63.78% pegangan dalam syarikat, manakala pihak awam masih memiliki 29.51%.

 

Pengarah-pengarah yang tidak berkepentingan dalam urus niaga tersebut — Datuk Sim Kheng Boon, Kho Soon Kheng dan Aw Tai Hui — turut bersetuju dengan pandangan penasihat bebas dan juga mengesyorkan agar pemegang saham menolak tawaran itu.

 

Pada 4 Julai lalu, UOB Kay Hian, bagi pihak Seng Huat dan keluarganya, telah mengumumkan rancangan untuk membeli baki 37.75% saham Kim Hin yang belum dimiliki mereka pada harga 85 sen sesaham.

 

Sekiranya mereka berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 90% daripada baki saham (tidak termasuk saham yang telah dimiliki), mereka merancang untuk menggunakan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 bagi membeli paksa baki saham lain pada harga yang sama, walaupun semua syarat tawaran tidak dipenuhi. - DagangNews.com