KUALA LUMPUR 10 Dis – Pemegang saham DKSH Holdings (Malaysia) Bhd dicadangkan supaya menerima tawaran DKSH Resources (Malaysia) Sdn Bhd melalui pengurangan modal terpilih (SCR) pada harga RM6.15 sesaham yang disifatkan sebagai adil dan menarik oleh HongLeong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, SCR tersebut memberi peluang kepada pemegang saham untuk menjual saham mereka pada harga yang baik dengan premium sebanyak 16.7% berbanding harga dagangan terakhir.
“Ini kerana saham DKSH kurang aktif diniagakan dan syarikat induk jelas mahu menyahsenaraikan syarikat daripada Bursa Malaysia.
“Oleh itu, pemegang saham minoriti disyorkan menerima tawaran ini supaya tidak terdedah kepada risiko harga saham yang tidak bergerak sekiranya penswastaan ini tidak berlaku,” kata HLIB.
Semalam, DKSH Holding Ltd mengemukakan tawaran untuk mengambil alih sepenuhnya DKSH Holdings melalui SCR dalam usaha kumpulan itu menyusun semula struktur korporat global dan seterusnya menyahsenaraikan syarikat tersebut daripada Bursa Malaysia.
Tawaran itu dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, DKSH Resources (Malaysia) Sdn Bhd, bagi mengambil alih baki 25.7% saham DHMB yang kini dipegang oleh pemegang saham minoriti.
Langkah itu akan meningkatkan pemilikan DKSH daripada 74.3% kepada 100%.
Tawaran itu mewakili premium sebanyak 16.7% berbanding harga dagangan terakhir dan premium antara 17.3% hingga 24.0% berbanding pelbagai purata harga tertimbang volum (volume-weighted average price) yang lain.
HLIB berkata, selepas DKSH diswastakan, syarikat induk akan mempunyai lebih fleksibiliti untuk mengurus operasi syarikat.
“Ini membolehkan mereka membuat keputusan perniagaan dengan lebih cepat dan bebas daripada sekatan pasaran saham, terutamanya untuk menghadapi risiko geopolitik dan ketidakpastian permintaan,” katanya.
Selain itu, HLIB telah menurunkan nilai wajar saham DKSH kepada RM6.15 sesaham, selaras dengan harga tawaran penswastaan berbanding RM6.95 sebelumnya.
Di bawah cadangan SCR itu, pemegang saham minoriti akan menerima bayaran tunai sebanyak RM6.15 sesaham, mewakili premium 16.7% berbanding harga penutup RM5.27 pada 8 Disember 2025.
Pelaksanaan SCR ke atas semua saham minoriti melibatkan jumlah tunai kira-kira CHF48.7 juta (Swiss Franc) berdasarkan kadar pertukaran 1 CHF bersamaan RM5.12.
DHMB, yang telah tersenarai di Bursa Malaysia sejak 1994, kini memiliki modal pasaran RM830.9 juta (CHF162.3 juta).
DKSH menegaskan langkah mengambil syarikat itu secara persendirian tidak akan memberi kesan kepada operasi semasa mahupun komitmen jangka panjang kumpulan terhadap Malaysia. - DagangNews.com








