KUALA LUMPUR 24 Sept - Pasaran minyak global terus berdepan tekanan apabila penawaran melebihi permintaan dengan harga minyak mentah Brent dijangka kekal lemah dalam julat AS$65 hingga AS$70 setong untuk baki tahun ini dan separuh pertama tahun 2026.
MBSB Research juga meramalkan, sektor minyak dan gas tidak mungkin menunjukkan sebarang pemulihan ketara sebelum pertengahan 2026.
Katanya, tekanan harga itu berpunca daripada lebihan bekalan melebihi jangkaan apabila Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) meningkatkan pengeluaran lebih awal manakala pengeluar bukan OPEC turut menambah sekitar 2.2 juta tong sehari (mbpd) ke dalam pasaran.
Firma penyelidikan itu berkata, dari sudut permintaan, penggunaan global dijangka meningkat hanya 0.7–0.9 mbpd pada tahun ini, didorong ekonomi bukan Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD)di Asia seperti India dan China.
"Walaupun peningkatan permintaan ini sedikit membantu mengelakkan kejatuhan harga yang lebih mendalam, ia masih tidak mencukupi untuk mengimbangi lebihan bekalan.
"Ketegangan geopolitik, khususnya serangan udara Israel terhadap Qatar pada awal September, menambah satu lagi risiko kepada pasaran kerana ia boleh mempengaruhi keseimbangan kuasa serta perdagangan tenaga di Asia Barat.
"Memandangkan ketidakpastian dalam pengeluaran dan permintaan, kami menjangkakan harga purata minyak mentah Brent pada September 2025 berada dalam julat AS$65 hingga AS$68 setong," katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research berkata, syarikat penerokaan dan pengeluaran (E&P) kekal terdedah kepada turun naik harga dan pada masa sama memberi amaran perbelanjaan modal yang berkurangan boleh menjejaskan pemain perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE), sekali gus mengehadkan projek baharu serta kerja penyelenggaraan.
Bagaimanapun katanya, kontrak jangka panjang dan perbelanjaan domestik yang kukuh dijangka menjadi penampan kepada sebahagian syarikat.
Katanya, segmen pertengahan dijangka mencatatkan prestasi stabil dengan syarikat dalam bidang itu banyak bergantung kepada kontrak berasaskan yuran jangka panjang, sekali gus melindungi mereka daripada turun naik harga jangka pendek.
"Permintaan terhadap fasiliti penyimpanan minyak dijangka meningkat berikutan harga yang lebih stabil pada paras rendah selain permintaan gas asli cecair (LNG) semakin meningkat di Asia serta keperluan tenaga baharu daripada pusat data dijangka mengukuhkan lagi prestasi segmen ini," katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, segmen petrokimia hiliran terus berdepan lebihan cabaran khususnya di rantau Asia-Pasifik.
Katanya, walaupun dasar “Anti-Involution” China dan usaha rasionalisasi kapasiti Korea Selatan bertujuan menstabilkan pasaran melalui penaiktarafan fasiliti lama serta peralihan kepada bahan kimia khusus, kesannya masih terhad.
Malah, kapasiti etilena baharu yang bakal dilancarkan di China menjelang 2027 dijangka mengekalkan lebihan bekalan dan persaingan sengit, sekali gus menangguhkan pemulihan subsektor ini sekurang-kurangnya sehingga 2026.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu walaupun syarikat dalam segmen huluan dan hiliran berdepan tekanan margin, segmen pertengahan dijangka kekal kukuh berikutan permintaan stabil terhadap fasiliti penyimpanan dan LNG," katanya.- DagangNews.com








