Tawaran hartanah bernilai tinggi, penganalisis yakin Mah Sing catat jualan lebih baik pada 2HFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran hartanah bernilai tinggi, penganalisis yakin Mah Sing catat jualan lebih baik pada 2HFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Mah Sing Group Berhad berpotensi mencatatkan jualan hartanah lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) dipacu pelancaran projek baharu dengan tawaran hartanah bernilai tinggi.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pada 1HFY25, Mah Sing merekodkan jualan hartanah sebanyak RM1.15 bilion, meningkat 12.7% berbanding tahun sebelumnya, dan menyumbang 43.3% daripada sasaran jualan tahun penuh sebanyak RM2.65 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu kekal optimis, sasaran tahunan itu mampu dicapai, terutamanya dengan beberapa pelancaran utama yang dirancang dalam bulan-bulan mendatang.

 

Antara projek utama yang akan dilancarkan ialah M Grand Minori dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion, sebuah pembangunan kondominium bertingkat tinggi yang terletak berdekatan dengan stesen Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS Link) dan ia akan dilancarkan secara berperingkat bermula Ogos 2025.

 

Selain itu, Mah Sing turut merancang pelancaran baharu dengan GDV berjumlah RM1.85 bilion untuk baki tahun ini, yang dijangka terus merancakkan jualan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan tinggi projek Siri M lonjak jualan Mah Sing kepada RM1.15 bilion pada 1HFY25

 

"Momentum jualan kumpulan dijangka semakin kukuh pada separuh kedua tahun ini, selari dengan pelancaran projek baharu yang telah dirancang dengan teliti. 

 

"Kami yakin ia akan membantu Mah Sing mencapai atau melepasi sasaran jualan tahunan," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB memberikan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham.

 

Sementara itu, MBSB Research berkata, Mah Sing akan terus mencatatkan prestasi kukuh sepanjang FY25 disokong projek Siri M yang terus menjadi penyumbang utama kepada keuntungan kumpulan.

 

Katanya, prestasi kukuh itu akan terus dipacu sumbangan projek-projek Siri M yang telah mendapat sambutan baik di pasaran seperti M Tiara di Johor Bahru dan M Legasi di Semenyih masing-masing menyumbang 22% dan 16% kepada jualan baharu kumpulan pada 1HFY25.

 

"Mah Sing diyakini mencapai sasaran jualan tahunan minimum RM2.65 bilion, dengan pelancaran beberapa projek utama dalam separuh kedua tahun ini, termasuk M Aurora di Jalan Klang Lama, M Aria di Sentul, M Zenni di Pulau Pinang, serta fasa baharu projek-projek sedia ada.

 

"Selain itu, jualan belum dibil sebanyak RM2.91 bilion memberikan keterlihatan pendapatan selama lebih setahun, sekaligus menjamin kestabilan aliran tunai masa hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan TP tidak berubah RM1.51 sesaham," katanya.- DagangNews.com