Tarif Trump rumitkan rancangan Khazanah keluar daripada aset swasta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump rumitkan rancangan Khazanah keluar daripada aset swasta

KUALA LUMPUR 9 April - Khazanah Nasional Bhd mengakui berdepan cabaran untuk keluar daripada aset swasta berikutan ketidaktentuan berterusan yang tercetus daripada tarif perdagangan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, dana kekayaan negara yang menguruskan lebih AS$30 bilion (RM134 bilion) dalam aset, masih menilai strategi perkembangan di peringkat global.

 

“Kami terdedah kepada aset swasta di peringkat antarabangsa dan domestik. Apabila berlaku perubahan dasar seperti ini, ia memberi kesan kepada pasaran global dan sangat sukar untuk keluar dan membuat pelaburan.

 

"Jadi, kami akan lihat apa yang bakal berlaku," katanya dalam wawancara TV Bloomberg di luar Persidangan Pelaburan ASEAN 2025.

 

Amirul berkata, Khazanah sedang berusaha untuk mempelbagaikan risiko secara global di tengah-tengah perubahan struktur perdagangan, sambil memberi fokus secara domestik kepada “pemacu utama” bagi ekonomi Malaysia seperti ketersambungan penerbangan dan peralihan tenaga.

 

Katanya, dana itu juga meneroka pelaburan dalam syarikat pemula, modal teroka dan industri semikonduktor.

 

Kebimbangan terhadap kesan tarif Trump ke atas ekonomi global telah mengeruhkan pasaran kewangan, menimbulkan risiko kepada pulangan Khazanah, lapor Bloomberg.

 

Tahun lalu, dana itu mencatatkan peningkatan 22% dalam nilai aset bersih, didorong keuntungan domestik, walaupun Amirul berkata, masih terlalu awal untuk menilai sasaran untuk 2025.

 

AS telah mengenakan tarif 24% ke atas import Malaysia, sebahagian daripada langkah yang lebih luas bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan.

 

Malaysia akan terus berhubung dengan Washington untuk mencari penyelesaian yang adil kepada isu berkaitan perdagangan.

 

Khazanah merupakan antara pelabur terbesar dalam pasaran saham Malaysia, telah terjejas oleh aliran keluar dana baru-baru ini dari rantau ini.

 

"Bagi Malaysia, saya rasa kami lebih optimistik. Kami melihat pertumbuhan.

 

“Kadar pada masa ini berada pada tahap yang kondusif untuk perdagangan," kata Amirul. - DagangNews.com