KUALA LUMPUR 8 April - Pengusaha sawit tempatan mempunyai kelebihan berbanding Indonesia susulan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 24 peratus yang dikenakan terhadap eksport minyak sawit mentah (CPO) Malaysia, lebih rendah berbanding 32 peratus terhadap Indonesia yang juga pengeluar terbesar dunia.
CIMB Research berkata, perbezaan tarif lapan peratus antara Malaysia dan Indonesia itu, memberi peluang kepada pengeluar minyak sawit tempatan untuk meningkatkan bahagian pasaran mereka di AS, memandangkan ia mengurangkan beban kos berbanding pengeluar utama lain.
Jelasnya, Malaysia mengeksport sekitar 191,000 tan minyak sawit ke AS tahun lalu, bersamaan dengan 1.1% daripada jumlah eksport Malaysia dan kira-kira 10% daripada import minyak sawit AS.
"Sebanyak 85% minyak sawit AS dieksport oleh Indonesia. AS juga adalah pemain kecil dalam pasaran minyak sawit global, menggunakan hanya 1.9 juta tan daripada 78 juta tan minyak sawit yang dihasilkan di seluruh dunia, iaitu kira-kira 2.4% daripada jumlah penggunaan global.
"Walaupun eksport minyak sawit Malaysia ke AS masih kecil, ia dilihat sebagai peluang yang signifikan berikutan perubahan tarif yang dikenakan oleh AS berkuat kuasa 9 April 2025," kata firma penyelidikan tersebut dalam satu nota kajian.
CIMB Research turut memberi amaran, walaupun Malaysia berpeluang mendapatkan lebih banyak pasaran, harga minyak sawit global mungkin terkesan akibat ketegangan perdagangan antara AS dan China yang turut memberi kesan kepada pasaran minyak soya, seterusnya mempengaruhi harga minyak sawit.
Menurutnya, disebabkan tarif berkenaan menjadikan minyak sawit lebih mahal bagi pembeli AS, pengeluar dan pengguna di AS kemungkinan akan beralih kepada alternatif yang lebih murah seperti minyak soya, yang akan menguntungkan petani soya AS.
"Bagi pembeli di AS yang sukar menggantikan minyak sawit dalam formulasi produk mereka, kos input yang lebih tinggi mungkin akan menyebabkan kenaikan harga pengguna atau penurunan margin bagi pengeluar," tambah CIMB Research.
Sementara itu, CIMB Research juga mencatatkan, harga minyak sawit mungkin menghadapi tekanan penurunan akibat kesan tindak balas China.
Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif asas sebanyak 10% ke atas semua barangan yang diimport ke negaranya, dengan tarif tambahan antara 11% hingga 50% yang menyasarkan 57 negara yang mempunyai lebihan perdagangan dengan AS.
Pada 4 April 2025, Beijing mengumumkan tarif tambahan sebanyak 34% ke atas semua barangan AS yang memasuki China, sekali gus meningkatkan tarif terhadap soya AS kepada 44% mulai 10 April 2025, hampir dua kali ganda kadar tertinggi 25% yang berlaku dalam perang perdagangan 2018 semasa pemerintahan kali pertama Trump.
CIMB Research berkata, kenaikan tarif tersebut akan memberi kesan besar kepada petani soya AS, kerana China menyumbang kira-kira 52% daripada eksport soya AS pada tahun lalu.
Walaupun ia mungkin membuka peluang kepada Brazil dan Argentina untuk membekalkan lebih banyak soya ke China, CIMB Research memberi amaran kekangan logistik dan bekalan mungkin menghalang China daripada segera menggantikan jumlah bekalan soya AS yang hilang.
"Jika ini berlaku, aktiviti pengeluaran soya domestik China mungkin berkurang dalam jangka pendek.
"Minyak sawit mungkin mendapat manfaat secara tidak langsung jika China mengurangkan aktiviti pengeluaran soya. Bagaimanapun, kami menjangkakan kesan penggantian ini akan terhad," ujarnya.
CIMB Research juga merujuk kepada dinamik yang serupa semasa perang perdagangan 2018 hingga 2019, apabila tarif 25% menyebabkan import soya AS ke China menurun sekitar 49% bersamaan pengurangan lebih 16 juta tan pada tahun 2018.
Pada tahun yang sama, import minyak sawit China meningkat sebanyak 231,000 tan kepada 5.4 juta tan dan terus melonjak kepada 7.6 juta tan pada 2019.
Secara keseluruhannya, CIMB Research kekal negatif terhadap harga CPO dalam jangka masa terdekat disebabkan oleh kemerosotan ekonomi global akibat tarif AS dan harga minyak mentah yang lemah.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan ramalan harga purata CPO pada tahun ini pada RM4,200 setiap tan.
Ia menambah, untuk penurunan RM100 setiap tan dalam anggaran harga CPO, ramalan pendapatan bagi syarikat perladangan yang berada di bawah penyelidikannya akan dikurangkan antara 3% hingga 7%.
Walaupun terdapat risiko, CIMB Research mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor perladangan buat masa ini, kerana pendedahan langsung terhadap tarif AS kekal terhad bagi minyak sawit Malaysia.
"Namun, kami memberi amaran kesan tidak langsung daripada harga minyak mentah yang lebih rendah terutamanya melibatkan permintaan biodiesel yang boleh menjadi lebih signifikan jika konflik perdagangan AS-China semakin meruncing," tambahnya.
Pemilihan utama CIMB Research untuk sektor perladangan adalah SD Guthrie Bhd dan IOI Corp Bhd. - DagangNews.com








