Tarif Trump: MITI komited cari penyelesaian terbaik untuk Malaysia, kata Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump: MITI komited cari penyelesaian terbaik untuk Malaysia, kata Tengku Zafrul

Gambar: Facebook Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 23 April - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif balas demi kepentingan bersama, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang kini berada di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan selama dua hari.

 

"Sebelum bertemu dengan pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat, saya telah mengadakan perbincangan bersama pasukan kementerian di sini. Kami meneliti strategi dan usaha terkini untuk memperkukuh hubungan dagangan Malaysia-AS.

 

"Kami komited mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama," katanya dalam satu hantaran media sosial.

 

Tengku Zafrul dijadual bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, serta pegawai berkaitan lain di Washington, hari ini.

 

Dalam satu taklimat media baru-baru ini, beliau berkata, delegasi Malaysia akan mengambil peluang bertemu dengan beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan bagi menjelaskan pendirian negara mengenai isu tarif, serta maklum balas yang diterima daripada Jemaah Menteri.

 

“Kita perlu berada di sana untuk menjelaskan bagaimana Malaysia, sebagai negara berkecuali, memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik.

 

“Matlamat kita adalah untuk menunjukkan Malaysia menyokong industri di Amerika Syarikat dan bukan menjadi ancaman kepada mereka,” jelasnya.

 

Tengku Zafrul akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) kementerian, Mastura Ahmad Mustafa, bersama pegawai-pegawai kementerian lain.

 

Wakil kementerian di Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi tersebut.

 

Dalam satu taklimat media minggu lalu, Tengku Zafrul berkata, walaupun lawatan tersebut memberi fokus kepada Malaysia, beliau akan mengambil kesempatan untuk menyuarakan pendirian ASEAN mengenai isu tarif, khususnya hasil daripada mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN yang berlangsung baru-baru ini.

 

Negara-negara ASEAN di Indochina merupakan yang paling terkesan oleh tarif ini, dengan Kemboja dikenakan kadar tarif asas dan balas gabungan sebanyak 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), dan Myanmar (44%).

 

Thailand dikenakan tarif sebanyak 36%, Indonesia 32%, manakala Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24%, Filipina pada 17%, dan Singapura dengan tarif asas 10%.

 

Kecuali China, tarif balas ini sedang dalam tempoh penggantungan selama 90 hari.

 

Dalam satu hantaran berasingan bertajuk "Mencari Penyelesaian Perdagangan yang Adil dan Saksama", Tengku Zafrul turut menyatakan beliau telah mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil di Washington bersama Duta AS (pegawai kanan APEC), Matt Murray.

 

“Malaysia hadir sebagai rakan kongsi yang konstruktif, bukan sahaja dalam konteks dua hala, tetapi juga sebagai pengerusi Asean pada tahun 2025 dan ahli APEC yang komited.

 

“Kami menghargai keterbukaan Amerika Syarikat untuk mendengar dan kesediaannya untuk meneruskan perbincangan secara berstruktur demi manfaat bersama,” tambah Tengku Zafrul.

 

Malaysia merupakan salah satu daripada 21 ekonomi ahli Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.- DagangNews.com