KUALA LUMPUR 8 April - Pengeluar perabot berasaskan kayu, Poh Huat Resources Holdings Bhd mungkin menghadapi penurunan pesanan jualan disebabkan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, yang akan memberi kesan kepada pendapatannya kerana lebih 90% hasil eksport syarikat datang dari pasaran negara itu.
TA Research bagaimanapun berkata, terdapat kemungkinan kecil perabot kayu mungkin akan dikecualikan daripada tarif berkenaan di bawah siasatan Seksyen 232 yang sedang dijalankan.
Katanya, pelaksanaan tarif yang lebih tinggi oleh AS boleh mengurangkan permintaan daripada pembeli negara tersebut disebabkan kos yang meningkat, yang berpotensi menyebabkan pembatalan atau pengurangan jumlah pesanan.
"Poh Huat Resources mungkin akan berdepan dengan tekanan margin kerana syarikat terpaksa menanggung sebahagian daripada beban tarif atau menawarkan diskaun untuk mengekalkan daya saing," menurut TA Research dalam satu nota kajian.
Disebabkan ketidakpastian yang timbul daripada perang perdagangan, TA Research mengurangkan anggaran kadar penggunaan untuk operasi syarikat di Vietnam, iaitu dari 72%, 75% dan 78% bagi tahun kewangan 2025 (FY25), FY26 dan FY27 kepada masing-masing 50%, 60% dan 75%.
Tambahnya, sebagai hasil, ramalan pendapatan bagi FY25, FY26 dan FY27 turut dikurangkan masing-masing sebanyak 32.4%, 16% dan 2.6%.
TA Research menurunkan harga sasaran saham Poh Huat Resources dari RM1.25 kepada RM1.08, berdasarkan tujuh kali potensi pendapatan sesaham pada tahun 2026.
Syarikat penyelidikan itu juga menurunkan cadangan saham daripada 'pegang' kepada 'jual' kerana melihat ketidakpastian dan risiko pendapatan yang mungkin dihadapi oleh sektor perabot.
Namun ia percaya, Poh Huat Resources mampu mengatasi cabaran tersebut susulan kedudukan kewangan kukuh tanpa sebarang hutang.
Berdasarkan keputusan suku pertama terkini, Poh Huat Resources mempunyai kedudukan tunai bersih sebanyak RM288.7 juta atau RM1.04 sesaham.
TA Research menjangkakan operasi Poh Huat Resources di Malaysia kurang terkesan berbanding operasi di Vietnam, memandangkan tarif yang dikenakan ke atas Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara pengeluar perabot utama seperti China dan Vietnam, yang bersama-sama menyumbang lebih 50% daripada import perabot AS.
Pada 1 Mac 2025, Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk mengarahkan agensi kerajaan memulakan siasatan Seksyen 232 mengenai import kayu, papan kayu dan produk sampingan termasuk perabot, bagi menilai kesannya terhadap keselamatan negara.
Menurut TA Research, Poh Huat Resources masih dalam proses untuk mendapatkan penjelasan daripada pelanggan AS.
Syarikat itu juga akan memindahkan beberapa pesanan jualan dari Vietnam ke Malaysia bagi mengurangkan kesan akibat tarif.
Selain itu, Poh Huat Resources akan mempelbagaikan asas pendapatan syarikat ke rantau lain seperti Eropah, Asia dan Asia Barat. - DagangNews.com








