KUALA LUMPUR 4 April - Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) menyifatkan syarat-syarat import halal Malaysia sebagai halangan teknikal kepada perdagangan, beberapa hari sebelum Tarif Perdagangan AS diumumkan ke atas import dari Malaysia.
USTR merujuk kepada syarat yang menetapkan kilang penyembelihan perlu memiliki kemudahan khusus bagi pengeluaran halal selain memastikan kemudahan penyimpanan dan pengangkutan yang berasingan bagi produk halal dan tidak halal.
Menurutnya, amalan antarabangsa yang berkaitan sebaliknya membenarkan makanan halal disediakan, diproses, diangkut dan disimpan menggunakan kemudahan-kemudahan yang sebelum itu digunakan bagi makanan tidak halal, dengan syarat tatacara pembersihan menurut Islam dipatuhi.
"Industri AS menekankan kebimbangan mengenai kos tambahan bagi mewujudkan kemudahan pengeluaran yang baharu dan berasingan untuk memasuki pasaran Malaysia," menurut USTR dalam laporan bertajuk '2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers' yang disiarkan pada 31 Mac 2025.
USTR turut menyifatkan syarat-syarat halal Malaysia lebih terperinci dan ketat berbanding amalan-amalan antarabangsa yang berkaitan.
AS mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April 2025, menurut perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Donald Trump.
Trump berkata, langkah itu diambil kerana terdapat ketidakseimbangan dalam hubungan perdagangan dua hala AS, termasuk kadar tarif yang berbeza, sekatan bukan tarif, serta dasar ekonomi negara-negara rakan dagang yang didakwa menekankan gaji domestik dan penggunaan dalam negara.
USTR merupakan agensi persekutuan AS yang bertanggungjawab membangunkan dan mempromosi dasar perdagangan asing AS, serta sebahagian daripada Pejabat Eksekutif Presiden AS. - DagangNews.com








