KUALA LUMPUR 5 Ogos - Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 19% ke atas Malaysia dipercayai hanya memberi impak minimum kepada portfolio SD Guthrie Berhad, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu juga positifn terhadap kesediaan syarikat perladangan tersebut dalam menghadapi Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) setelah syarikat tersebut mengesahkan komitmennya terhadap pematuhan melalui pelaksanaan strategi “beyond zero” miliknya.
"SD Guthrie memberitahu import minyak sawit AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini konsisten walaupun berlaku turun naik harga yang tinggi.
“Kebanyakan import adalah minyak sawit bertapis dan digunakan sebagai ramuan (bukan minyak pukal), menjadikan penggantian produk tidak mungkin berlaku," katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research berkata, SD Guthrie menjangkakan tarif itu akan memberi kesan yang minimum terhadap import minyak sawit ke AS, kerana pasaran negara itu bukanlah pasaran yang sensitif terhadap harga seperti India, Pakistan dan Bangladesh.
“Tambahan pula, hasil pendapatan AS secara konsisten dikategorikan sebagai minimum. Berdasarkan semakan kami, pendedahan hasil kumpulan terhadap pasaran AS kekal tidak signifikan,” katanya.
MBSB Research berkata, Malaysia secara konsisten mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sekitar 10%.
Katanya, India melonjak ke tempat kedua pada 2024, disokong permintaan yang didorong pertambahan populasi serta peningkatan import minyak bertapis.
Sementara itu, Eropah menunjukkan ketidaktentuan – sebahagian besarnya disebabkan perubahan peraturan seperti EUDR dan sekatan import yang disasarkan.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran baru muncul lain, termasuk Papua New Guinea, Afrika Selatan dan Pakistan, terus mencatatkan pertumbuhan stabil tetapi sederhana.
Mengenai persediaan EUDR, MBSB Research berkata, SD Guthrie menjelaskan EUDR akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026, yang memerlukan kebolehkesanan 100% ke ladang, status bebas penebangan hutan selepas tahun 2020, serta pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang tempatan.
Ini termasuk pemetaan menggunakan sistem kedudukan global (GPS) dan bukti tiada penebangan hutan, manakala minyak yang tidak boleh dikesan atau bercampur tidak akan dibenarkan memasuki Kesatuan Eropah.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan tersebut kekal optimis terhadap subsegmen huluan SD Guthrie berikutan jangkaan pemulihan dalam hasil tandan buah segar susulan usaha pemulihan intensif yang telah dilaksanakan tahun lalu di Malaysia.
Ia mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM5.43 sesaham. - DagangNews.com








