Tarif air: Kerajaan Terengganu tanggung subsidi RM24 juta setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif air: Kerajaan Terengganu tanggung subsidi RM24 juta setahun

Wisma Darul Iman/Gambar UPDI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pemberian subsidi bil air sebanyak RM24 juta setahun bagi pengguna domestik sebagai langkah meringankan beban kos hidup rakyat.

 

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata,  subsidi itu melibatkan 30% untuk pengguna domestik Band 2 (penggunaan 21–35 meter padu) dan 15% untuk pengguna domestik Band 3 (penggunaan melebihi 35 meter padu). 

 

“Pelaksanaan subsidi dijangka memberi impak kewangan sebanyak RM24 juta setahun dan akan berkuat kuasa untuk bil air bulan November 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Keputusan itu dimuktamadkan selepas kerajaan negeri mendengar pembentangan yang disampaikan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 01 Oktober 2025 berhubung peruntukan Seksyen 84(2)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Muslimat PAS gesa kaji semula pelarasan tarif air di Terengganu

 

Dalam pembentangan itu, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa kadar tarif semasa yang telah diwartakan hendaklah digunapakai oleh mana-mana operator yang menyediakan
perkhidmatan bekalan air. 

 

Sebarang pindaan hendaklah diangkat semula kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk pertimbangan dan kelulusan.

 

Tambahnya, kerajaan Terengganu mengambil berat isu bebanan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna domestik ekoran pelarasan kadar baru tarif air Satu bermula 1 Ogos lalu.

 

“Sehubungan itu, setelah dibuat kajian serta pertimbangan sebaiknya dari pelbagai aspek, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menanggung 30% subsidi bersamaan kira-kira RM24 juta setahun,” katanya.

 

Bagi kategori Band 2, sebanyak 78,807 akaun hanya perlu membayar 70% dari jumlah bil penggunaan manakala pengguna domestik kategori Band 3 berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85% dari jumlah bil penggunaan mereka.

 

“Semoga dengan langkah Kerajaan Negeri ini akan dapat membantu mengurangkan bebanan para pengguna domestik serta dalam masa yang sama mewujudkan situasi menang-menang bagi Satu dalam memastikan komitmen bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat,” katanya. - DagangNews.com