Tarif air domestik tidak akan dinaikkan untuk pembangunan pusat data sebaliknya kos ditanggung pemaju, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif air domestik tidak akan dinaikkan untuk pembangunan pusat data sebaliknya kos ditanggung pemaju, Parlimen diberitahu

Gambar Unsplash.com

KUALA LUMPUR 8 Dis --  Kadar tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata untuk memenuhi keperluan pembangunan pusat data, demikian tegas Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa kos berkaitan peningkatan infrastruktur grid elektrik dan air bagi menyokong pusat data akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

 

“Ini bagi memastikan tiada beban kewangan tambahan dikenakan kepada pengguna, terutamanya pengguna domestik.

 

“Pembangunan pusat data dan unjuran peningkatan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia memerlukan kerja-kerja penambahbaikan grid yang signifikan di bawah Tempoh Peraturan Keempat (RP4), yang dijadualkan dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027. 

 

“Ini susulan permintaan melebihi 7,000 megawatt (MW) yang telah dipenuhi melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) antara pengendali pusat data dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain projek yang telah siap, sehingga September 2025,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui penilaian kerajaan terhadap impak pertambahan pusat data terhadap penggunaan tenaga dan air negara dalam sesi soal jawab lisan Di Dewan Negara hari ini.

 

Senator Rosni juga meminta jaminan bahawa tarif elektrik dan air tidak akan dinaikkan sehingga membebankan rakyat atau menjejaskan kesejahteraan ekonomi domestik.

 

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan “pengguna bayar” di bawah struktur tarif baharu, di mana pengendali pusat data dikehendaki menanggung kos tambahan bagi pengukuhan infrastruktur grid.

 

“Langkah ini memastikan perbelanjaan tersebut tidak dipindahkan kepada pengguna lain.

 

“Kerajaan juga telah memperkenalkan kategori tarif Voltan Ultra Tinggi (UHV) khusus untuk pusat data yang beroperasi pada tahap voltan tinggi dan sangat tinggi, bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan lestari untuk operasi mereka.

 

“Selain itu, penggunaan air untuk sistem penyejukan dan operasi pelayan juga meningkat selaras dengan pertumbuhan pusat data berskala besar. Untuk menangani perkara ini, kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air lestari bagi memastikan permintaan yang meningkat tidak menjejaskan pengguna domestik atau industri lain,” katanya.

 

Tambahnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah memperkenalkan Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data, berkuat kuasa 1 Sept 2025. 

 

Katanya, garis panduan ini menetapkan keperluan teknikal yang mesti dipatuhi dari peringkat perancangan sehingga fasa operasi, termasuk pematuhan kepada piawaian relevan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) dan Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC).

 

“Pengendali pusat data juga digalakkan menggunakan teknologi hijau, termasuk sistem penyejukan berkecekapan tinggi, penggunaan semula air, penuaian air hujan dan kitar semula air melalui Cycle of Concentration, bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat serta menyokong agenda kelestarian negara,” tambahnya.

 

Menjawab soalan tambahan daripada Senator Dr Jufitri Joha mengenai kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan air bawah tanah untuk projek pusat data di Port Dickson, Akmal Nasrullah berkata, pengambilan air bawah tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sebarang bantahan atau isu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa negeri tersebut. -- BERNAMA