TAR UMT jalin kerjasama kukuh kelestarian dan amalan ESG korporat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TAR UMT jalin kerjasama kukuh kelestarian dan amalan ESG korporat

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 April - Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan firma perundingan Regner Sdn Bhd (Regner Consulting) bagi memperkukuh amalan kelestarian korporat dan pematuhan ESG dalam kalangan syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata kerjasama strategik itu bertujuan merapatkan jurang antara input akademik dan keperluan pelaksanaan industri, agar syarikat dapat melaksanakan rangka kerja ESG dengan lebih tepat, patuh serta efisien.

 

Antara fokus utama kolaborasi ialah pelaporan ESG mengikut piawaian global, pengiraan serta pengurangan jejak karbon, khidmat nasihat pematuhan Sedex Members Ethical Trade Audit (SMETA), pensijilan label hijau produk, strategi pengurusan pekerja serta tadbir urus korporat.

 

"Dengan menggabungkan penyelidikan berasaskan bukti daripada TAR UMT dan kepakaran Regner Consulting yang telah memenangi pelbagai anugerah, kerjasama ini memastikan syarikat bukan sahaja mematuhi kehendak peraturan bahkan menghayati prinsip kelestarian dalam operasi mereka," menurut kenyataan itu.

 

Kerjasama itu hadir ketika ESG semakin menjadi tumpuan perniagaan global, dengan nilai aset ESG dijangka mencecah AS$40 trilion (RM189 trilion) menjelang 2030. 

 

Malah, 85% Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Asia Pasifik melabur dalam inisiatif mesra iklim sepanjang tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Regner Consulting, Renee Ho berkata ESG tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang membebankan atau mahal.

 

"Pendekatan kami memastikan syarikat dapat menyepadukan kelestarian dalam proses kerja sedia ada secara semula jadi tanpa pertindihan atau sistem yang kompleks. Kami bukan hanya beri nasihat, tetapi bantu dari strategi hingga pelaksanaan," ujarnya dalam satu kenyataan.


                                                                          
Ho berkata :" Ini bukan produk 'off-the-shelf'. Ia dibina mengikut keperluan setiap syarikat. Dengan sistem yang betul, ESG bukan sekadar pematuhan tetapi ialah strategi paling cekap untuk capai kejayaan".

 

Presiden TAR UMT, Prof. Lee Sze Wei pula berkata, kolaborasi itu menyokong usaha menjadikan amalan tadbir urus korporat dan kelestarian sebagai sebahagian daripada transformasi nasional.

 

"Kami komited membekalkan syarikat dengan strategi dan alat yang relevan untuk menerajui perubahan ke arah amalan perniagaan yang lebih lestari dan telus," katanya dalam satu kenyataan.

- DagangNews.com