Tangguhkan perubahan dasar bagi melindungi perniagaan - SERC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tangguhkan perubahan dasar bagi melindungi perniagaan - SERC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Permintaan domestik Malaysia mungkin terjejas sekiranya berlaku kelembapan mendadak dalam eksport akibat perang tarif yang sedang berlangsung.

 

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie memberi amaran, pertumbuhan eksport yang lemah boleh menyebabkan permintaan pinjaman perniagaan berkurangan, peningkatan kadar pengangguran dan perbelanjaan runcit menjadi lebih perlahan.

 

“Ia bukan sekadar perdagangan. Kesan tarif ini turut menjejaskan permintaan domestik.

 

"Syarikat yang membekalkan barangan kepada pengeksport juga akan terjejas akibat penyusutan permintaan, sekali gus menjejaskan operasi serta perbelanjaan mereka.

 

“Permintaan pinjaman bagi membiayai rancangan pengembangan juga akan berkurangan akibat keadaan ini,” katanya semasa taklimat media Malaysia Quarterly Economy Tracker (Januari–Mac) 2025 SERC yang bertajuk “Decoding the Impact of Trump’s Liberation Day Tariffs”.

 

domestik
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie

 

Heng Guei menjelaskan, jika tempahan sesebuah syarikat dikurangkan separuh akibat tarif, syarikat tersebut tidak akan mengekalkan jumlah pekerja yang sama.

 

“Terdapat juga ketidaktentuan mengenai tempoh masa situasi ini. Perniagaan akan mengambil langkah mengurangkan kos operasi, sama ada dengan mengurangkan bilangan syif atau memotong kerja lebih masa," katanya.

 

Katanya, kelembapan eksport yang ketara – seperti yang berlaku semasa krisis kewangan global dan pandemik COVID-19 – akan memberi kesan rantaian kepada permintaan domestik dan boleh menjejaskan pertumbuhan keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

 

“Semasa krisis kewangan global, eksport sebenar Malaysia menyusut sebanyak 11.7 mata peratusan (ppt) pada 2009, berbanding pertumbuhan 1.8 ppt pada 2008.

 

“Pertumbuhan KDNK sebenar menjadi negatif, merosot kepada -1.5% pada 2009 daripada 4.8% tahun sebelumnya. Permintaan domestik juga merosot dengan ketara, hanya menyumbang 0.2 ppt kepada KDNK pada 2009 berbanding 5.4 ppt pada 2008,” katanya.


Semasa pandemik COVID-19 pada 2020, beliau berkata, KDNK benar Malaysia menguncup sebanyak 5.5%, dengan eksport benar menurun sebanyak 5.5 ppt daripada penguncupan yang lebih kecil sebanyak 0.7 ppt pada 2019.

 

“Permintaan doemstik juga lemah dengan ketara, jatuh sebanyak 5.1 ppt pada 2020 daripada sumbangan positif 4.1 ppt pada tahun sebelumnya,” katanya.

 

Heng Guei menekankan, keperluan untuk mengelak membebankan perniagaan dengan kos operasi yang lebih tinggi dalam tempoh ini.

 

Beliau berkata iklim semasa sepatutnya mendorong kerajaan untuk menimbang semula dan berpotensi menangguhkan perubahan dasar yang dirancang, seperti rasionalisasi subsidi bahan api, levi pelbagai peringkat dan kenaikan tarif elektrik.

 

"Berkenaan dengan penyasaran semula subsidi RON95, harga minyak semakin turun. Harga minyak mentah Brent kini berada pada AS$66.38 setong.

 

"Oleh itu, perbelanjaan subsidi kerajaan untuk RON 95 akan jauh lebih rendah sekarang. Ini memberi ruang kepada kerajaan untuk menguruskan kesan kepada defisit bajet," katanya.

 

Beliau turut memberi amaran, Malaysia mungkin berdepan lambakan barangan import asing, apabila negara-negara yang dikenakan tarif mencari pasaran alternatif – dengan mengambil kesempatan terhadap halangan import yang lebih rendah di Malaysia.

 

“Ini boleh melemahkan industri tempatan. Kerajaan perlu bersedia untuk menghadapi potensi kemasukan barangan asing ini, bukan sahaja dari segi menangani tarif sehala, tetapi juga mengambil kira kesan sampingan yang lebih luas akibat tarif tersebut,” jelasnya.

 

Di tengah-tengah ketidaktentuan berterusan berkaitan dasar tarif AS, SERC telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4%, susut daripada 5% sebelum ini.

 

Ini adalah lebih rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.5% hingga 5.5%.

 

“Ini adalah tahap ketidaktentuan ekonomi tertinggi yang pernah kita lihat, dan mungkin berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 90 hari akan datang.

 

“Mudah-mudahan, menjelang akhir tempoh tersebut, akan ada kejelasan mengenai pelaksanaan tarif,” katanya.

 

Presiden AS, Donald Trump, telah menetapkan jeda selama 90 hari, kecuali China, untuk pelaksanaan tarif yang diumumkan pada 2 April lalu yang digelar Liberation Day, bagi memberi ruang kepada rundingan dengan negara-negara lain. - DagangNews.com